Ahad, 12 November 2017 | 9:04pm
PELUMBA Petronas Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin menutup kempen musim ini dengan bergaya apabila meraih kedudukan keenam pada Grand Prix (GP) Valencia sebentar tadi. - Foto Luqman Hakim Zubir

Hafizh keenam GP Valencia

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah menutup kempen musim ini dengan bergaya apabila meraih kedudukan keenam pada Grand Prix (GP) Valencia sebentar tadi.

Pada perlumbaan di Litar Ricardo Tormo, Hafizh yang bermula dari petak ke-11 menunjukkan corak tunggangan konsisten untuk menamatkan perlumbaan 14.595 saat di belakang pemenang, Miguel Oliveira (43'15.843s) dari Red Bull KTM Ajo.

Keputusan itu menyaksikan penunggang PETRONAS Raceline itu menambah 10 mata kejuaraan untuk mendaki satu anak tangga ke kedudukan ke-10 keseluruhan pelumba dengan 106 mata.

Ia adalah kedudukan keenam kedua berturut-turut dimenangi anak jati Ampang, Kuala Lumpur itu selepas meraih kedudukan sama pada perlumbaan di laman sendiri - Grand Prix Malaysia dua minggu lalu.

Bagaimanapun, kedudukan itu menyaksikan Hafizh yang diberi julukan Pescao gagal memperbaiki pencapaian tempat kesembilan pada saingan Moto2 musim lalu.

Hafizh lambat panas pada awal musim ini sebelum bangkit pada enam perlumbaan terakhir termasuk menaiki podium pada aksi Grand Prix San Marino dan Grand Prix Jepun masing-masing meraih kedudukan kedua dan ketiga.

1374 dibaca
Berita Harian X