Ahad, 12 November 2017 | 11:59pm
PEMANDU Repsol Honda, Marc Marquez meraikan kejayaan menjuarai MotoGP sebanyak empat kali pada perlumbaan terakhir di GP Valencia, sebentar tadi. - Foto EPA-EFE

Marquez lakar sejarah

VALENCIA, Sepanyol: Pelumba Honda, Marc Marquez merekodkan gelaran juara dunia keempat saingan MotoGP dalam tempoh lima tahun selepas pencabar terdekatnya, Andrea Dovizioso terbabit dengan kemalangan pada perlumbaan terakhir musim ini di Grand Prix (GP) Valancia, sebentar tadi.

Pelumba berusia 24 tahun dari Sepanyol itu yang bermula di petak hadapan dengan kelebihan 21 mata menamatkan saingan di tempat ketiga dan menjadi pelumba termuda merekodkan gelaran juara dunia sebanyak empat kali dalam kategori MotoGP.

"Ia perasaan yang menakjubkan. Ketika perlumbaan saya cuba untuk kekal tenang dan mengawal situasi," kata Marquez selepas tamat perlumbaan.


MARQUEZ memperaga tunggangan yang menyakinkan biarpun sekadar menamatkan perlumbaan ditempat ketiga, sebentar tadi. - Foto AFP

"Secara tiba-tiba saya berkata ini adalah masanya untuk memberikan semuanya kerana saya berasa sangat baik. Namun, di selekoh pertama saya hilang fokus susulan masalah pada brek, saya membrek sangat lambat."

Rakan sepasukannya, Dani Pedrosa menjuarai perlumbaan berkenaan dengan pelumba Perancis, Johan Zarco dari Tech3 Yamaha menamatkan saingan di tempat kedua.

Harapan Ducati untuk menafikan kejuaraan Marquez berkecai apabila Jorge Lorenzo dan selepas itu Dovizioso terbabit dengan kemalangan susulan aksi agresif yang ditunjukkan mereka sepanjang perlumbaan berlangsung.

Marquez yang meraikan kejayaan dengan memberi fokus kepada angka empat dan empat, simbolik untuk jumlah gelaran dunia dalam kategori MotoGP dan keseluruhan untuk semua kategori menamatkan saingan musim ini dengan keseluruhan 298 mata manakala Dovizioso naib juara dengan 261 mata.

Marquez memadamkan rekod mendiang Mike Hailwood sebagai pelumba paling muda merekodkan gelaran juara dunia empat kali dengan mencapai pada usia 24 tahun berbanding legenda Britain itu yang melakukannya ketika berusia 25 tahun pada 1965.

Pelumba Sepanyol itu yang meraih semua gelarannya bersama Honda turut mengambil status pelumba Itali, Valentino Rossi sebagai pelumba termuda meraih enam gelaran juara dunia dalam semua kategori. - Reuters

1032 dibaca
Berita Harian X