Isnin, 13 November 2017 | 10:56pm
PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin mempamerkan tunggangan cemerlang dengan melakar dua penamat di pentas podium musim ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

Cabaran baharu Hafizh bermula

KUALA LUMPUR: Kejuaraan Motosikal Dunia 2017 melabuhkan tirainya di Grand Prix (GP) Valencia semalam dengan menyaksikan Hafizh Syahrin Abdullah terus membuktikan kemampuannya dan akan cuba 'menakluk' musim baharu tahun depan.

Pelumba Moto2 yang bakal beralih ke pasukan baharu, PETRONAS Sprinta Racing itu mempamerkan tunggangan cemerlang dengan melakar dua penamat di pentas podium musim ini.

Kali pertama Hafizh menaiki podium musim ini ialah di GP San Marino, meraih penamat ketiga sebelum diangkat ke tangga kedua selepas kemenangan pelumba Switzerland, Dominique Aegerter dibatalkan kerana kesalahan teknikal.

Podium keduanya muncul di GP Jepun, meraih penamat ketiga yang juga pencapaian terbaiknya di Sirkit Twin Ring Motegi sejak membuat kemunculan pertama dalam kancah Moto2 pada 2014.


Hafizh Syahrin bakal beralih ke pasukan baharu, PETRONAS Sprinta Racing pada saingan musim depan. - Foto Osman Adnan

"Tahun depan akan menjadi satu cabaran baharu buat saya," kata Hafizh yang menamatkan perlumbaan di Valencia pada kedudukan keenam bagi membolehkan dirinya mengumpul 106 mata untuk berada di tangga ke-10 keseluruhan, musim ini.

"Saya berharap dapat menerima sokongan padu daripada semua pihak seperti sering saya terima daripada mereka yang terbabit sebelum ini."

Tahun depan, Hafizh akan menyertai pasukan PETRONAS Sprinta Racing - sebuah pasukan tempatan yang tercetus hasil kerjasama PETRONAS dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan tumpuan utamanya membawa pelumba negara beraksi di kelas utama, MotoGP dalam masa terdekat ini.

Namun, Hafizh atau dikenali sebagai 'Pescao' perlu melengkapkan sasaran diletakkan di bahunya iaitu menamatkan saingan di tangga kelima keseluruhan musim depan sebelum dinaik taraf ke kelas paling berprestij itu.

1931 dibaca
Berita Harian X