Selasa, 14 November 2017 | 9:22pm
MOHD Shazly Farith Mohd Ilias (berdiri tiga kanan) bersama pelajar-pelajar AKBM di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Mohd Fadli Hamzah

AKBM sasar juara K4GP

SEPANG: Pasukan Akademi Kemahiran Belia Motorsport (AKBM), Kementerian Belia dan Sukan, Temerloh, Pahang, mahu bergelar juara pada perlumbaan K4GP Global 24 Hour (K4GP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Ahad ini.

Ketua pasukan merangkap pengajar akademi itu, Mohd Shazly Farith Mohd Ilias, berkata biarpun pasukannya baharu pertama kali menyertai K4GP, mereka tetap optimis mampu menamatkan perlumbaan 24 jam berkenaan sekali gus mencerahkan peluang bergelar juara.

Berikutan itu, setiap pemandu AKBM perlu memandu kereta berkenaan minimum 3 jam bagi menamatkan perlumbaan selama 24 jam dengan melakukan lebih 180 pusingan di litar berkenaan.


MOHD Shazly Farith Mohd Ilias tetap optimis AKBM mampu menamatkan perlumbaan K4GP sekali gus mencerahkan peluang bergelar juara. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Katanya, cabaran utama mereka adalah kereta PERODUA Kelisa pasukan itu tidak mengalami kemalangan dan kerosakan teruk sehingga tamat perlumbaan.

"Tujuan utama kita sertai K4GP bukan kerana ingin jadi juara sebaliknya mahu memberikan pendedahan teknikal awal kepada pelajar juruteknik sukan bermotor empat roda mengenai cabaran sebenar apabila bekerja sebagai kru perlumbaan selepas tamat pengajian nanti.

"Malah, kami menetapkan mereka perlu menjadi kru teknikal sekurang-kurangnya dalam satu perlumbaan kereta setiap semester sama ada rali, 'drift', 'drag' dan sebagainya sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan nanti," katanya di sini, hari ini.

Berikutan itu Shazly berkata, beliau gembira kerana akademi itu dijemput penganjur menyertai perlumbaan kelab permotoran dari Jepun terbabit.


MOHD Shazly Farith Mohd Ilias ketika menguji kenderaannya di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Katanya, biarpun perlumbaan itu bertaraf kelab namun ia mempunyai kelas tersendiri kerana hanya disertai 14 pasukan terpilih dari Malaysia dan lebih 25 pasukan dari Jepun.

"Apa yang lebih menggembirakan adalah kereta PERODUA Kelisa yang bakal kita gunakan ini diubah suai sepenuhnya tenaga pengajar dan pelajar akademi kami sendiri. Kita memilih lapan tenaga pengajar sebagai pemandu dan 10 pelajar selaku kru pasukan ini.

"Kami juga gembira kerana 10 pelajar akademi ini turut dipinjamkan sebagai kru sokongan bagi membantu sebuah pasukan lain pada hari perlumbaan sebenar nanti," katanya yang pernah memimpin pasukan AKBM muncul juara keseluruhan Rali Malaysia pada tahun lalu.

121 dibaca
Berita Harian X