Khamis, 7 Disember 2017 | 10:54pm
PELUMBA Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton diundi pelumba terbaik buat tahun keempat berturut-turut menerusi undian bos-bos pasukan Formula Satu (F1). - Foto Osman Adnan

Bos F1 undi Hamilton pelumba terbaik

LONDON: Pelumba Mercedes AMGP PETRONAS, Lewis Hamilton diundi pelumba terbaik buat tahun keempat berturut-turut tetapi rakan sepasukannya, Valtteri Bottas jatuh ke tangga ke-10, menerusi undian bos-bos pasukan Formula Satu (F1).

Undian berkenaan yang diterbitkan oleh motorsport.com, hari ini meletakkan juara dunia empat kali, Hamilton jauh mengatasi pencabar terdekatnya, Max Verstappen.

Bottas yang memenangi tiga perlumbaan tahun ini selepas menyertai Mercedes berikutan persaraan juara dunia 2016, Nico Rosberg disenarai jauh daripada rakan sepasukannya itu.

Ia menyaksikan Bottas jatuh satu anak tangga berbanding tahun sebelumnya ketika bersama Williams pada 2016.

Hamilton mengumpul 233 mata daripada keseluruhan mata maksimum, 250 mata dengan pelumba Red Bull, Verstappen mengikutinya dengan 143 mata.

Pelumba Ferrari yang juga naib juara musim 2017, Sebastian Vettel yang juga juara dunia empat kali di tempat ketiga diikuti seorang lagi pelumba Red Bull, Daniel Ricciardo di tangga keempat.

Pemandu Force India dari Mexico, Sergio Perez terkeluar daripada kelompok 10 terbaik tetapi rakan sepasukannya dari Perancis, Esteban Ocon menyertai senarai itu di tangga kelima sekali gus mengatasi juara dunia dua kali McLaren, Fernando Alonso (keenam).

Kimi Raikkonen yang memandu Ferrari dan pelumba Renault, Carlos Sainz terikat di tangga ketujuh dengan pelumba Renault, Nico Hulkenberg menyertai kelompok berkenaan buat pertama kali di kedudukan kesembilan. - Reuters

143 dibaca
Berita Harian X