Jumaat, 22 Disember 2017 | 12:09pm
KETUA Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata bagi tapisan pertama senarai peserta akan disenarai pendek sehingga 40 nama sebelum proses kedua dilakukan bagi memilih hanya lima pelumba terbaik. - Foto Nazran Jamel

Pemenang Impian Ke MotoGP harungi jadual padat

KUALA LUMPUR: Dua pelumba yang terpilih daripada program Impian Ke MotoGP anjuran Litar Antarabangsa Sepang (SIC), bakal mengharungi jadual perlumbaan padat bukan saja di Asia malah di Eropah.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata bagi tapisan pertama senarai peserta akan disenarai pendek sehingga 40 nama sebelum proses kedua dilakukan bagi memilih hanya lima pelumba terbaik.

Sekiranya terpilih, dua daripada lima peserta program akan menyertai perlumbaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan Kejuaraan Motosikal Remaja Dunia (CEV) di Eropah, bermula Mac ini.

Baki tiga pelumba juga tidak akan diabaikan apabila mereka bakal menyertai Kejuaraan Cub Prix dan Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) sebagai persediaan awal mengikuti jejak dua lagi pelumba itu pada tahun berikutnya.

"Permohonan dibuka sehingga hujung bulan ini. Pada minggu pertama Januari, kami akan menapis lebih kurang 40 peserta dan selepas itu melakukan dua hari pemilihan pada minggu seterusnya.

"Daripada situ, kami akan memilih lima peserta," katanya.

Razlan dalam pada itu menjelaskan nama sementara pasukan yang bakal ditubuhkan khas bagi program ini ialah SIC ZK Racing - sempena nama ikon dua roda negara, Zulfahmi Khairuddin.

"Yang akan mengendalikan program ini ialah Zulfahmi, SIC dan bekas pelumba yang terkenal dalam industri permotoran, Zamani."

412 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »