Jumaat, 29 Disember 2017 | 12:53am
PELUMBA Ferrari, Sebastian Vettel (kiri) terus bersaing dengan Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton, musim depan. - Foto AGENSI

Persaingan Hamilton, Vettel jadi tumpuan pada 2018

LONDON: Formula Satu (F1) memasuki era baharu pada tahun ini dan ia bakal menjanjikan pelbagai rekod pada musim 2018 jika Mercedes dan Lewis Hamilton meneruskan rentak kemenangan.

Kejuaraan dunia keempat pelumba kelahiran Britain itu ketika F1 di bawah pemilik baharu dari Amerika Syarikat (AS) tahun ini selepas berdekad-dekad di bawah kendalian Bernie Ecclestone dijangka bakal mencipta pertarungan yang sengit di litar pada 2018.

Tidak pernah terjadi dalam sejarah F1 apabila dua pemenang empat gelaran dunia bersaing untuk merebut kejuaraan kelima tetapi Hamilton dan pelumba Ferrari, Sebastian Vettel pastinya teruja untuk melakukannya ketika musim membuka tirainya di Australia pada 25 Mac depan.

Ia pastinya amat menarik untuk disaksikan selepas Hamilton mengekalkan ketenangannya pada 2017 ketika Vettel membiarkan tekanan 'menelannya.'

Hamilton menulis semula beberapa rekod pada tahun ini antaranya memadam rekod Jackie Stewart selaku pelumba F1 paling berjaya Britain dan pertama negaranya meraih empat gelaran dunia.

Jumlah kemenangan yang diraihnya (62) juga adalah yang kedua terbanyak di belakang juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher (91) tetapi dia sudah mengatasi rekod petak utama legenda Jerman itu pada musim ini iaitu 72.

Pelumba berusia 32 tahun itu turut mengutip mata dalam setiap perlumbaan ketika cabaran yang dihadirkan Vettel kian malap susulan pelanggaran dan kegagalan mekanikal.

Di sebalik beberapa peraturan baharu yang menjadikan jentera lebih pantas dan lebar serta penggunaan tayar yang lebih lebar, Mercedes berjaya melengkapkan kejuaraan berganda buat tahun keempat berturut-turut.

Hamilton memenangi sembilan daripada 20 pusingan perlumbaan ketika Vettel yang mendahului perebutan kejuaraan sehingga September lalu memiliki lima kemenangan.

Ferrari yang kali terakhir menjulang kejuaraan dunia kategori pelumba bersama Kimi Raikkonen pada 2007 mensasarkan untuk tampil lebih bertenaga pada 2018 ketika perlumbaan ditambah satu pusingan selain kuota penggunaan enjin dikurangkan daripada empat kepada tiga.

"Saya tidak boleh menjangkakan dia akan melakukan kesilapan yang sama," kata Hamilton sebelum menjulang trofi kemenangannya.

"Saya perlu memastikan yang saya akan menjadi lebih baik pada tahun depan untuk kekal berada di depannya." - REUTERS

444 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »