Rabu, 3 Januari 2018 | 4:55pm
PELUMBA Moto2 Malaysia, Ramdan Rosli sahkan dirinya akan terus bersama pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor untuk musim baharu Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018. - Foto Asyraf Hamzah

Ramdan galas misi lebih besar

Kuala Lumpur: Ramdan Rosli mengesahkan dirinya akan terus bersama pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor untuk musim baharu Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 yang dijadual bermula Mac ini.

Ramdan yang melakar kemenangan pada pusingan terakhir musim 2017 di Dataran Bandar Penawar, Johor, November lalu juga berkemungkinan bakal menggalas tugas lebih besar iaitu beraksi di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) tahun ini.

Kepercayaan diberi pasukan jelas menyenangkan Ramdan yang sebelum ini pernah menyertai pentas Kejuaraan Motosikal Remaja Dunia (CEV) selama tiga tahun dalam kelas Moto2 sejak 2014.

"Saya selesa bekerjasama dengan Maju Motor terutamanya daripada sudut pelarasan jentera dan kerjasama yang diberikan di dalam pasukan.

"Secara keseluruhannya, pasukan ini bagus kerana bijak dalam mengurus dan menyediakan platform terbaik untuk pelumba."

Untuk musim baharu 2018 yang dijadual membuka tirainya di Tangkak, Johor pada 31 Mac hingga 1 April ini, Ramdan yang beraksi dalam kelas CP150 bakal bergandingan bersama juara keseluruhan musim lalu, Kasma Daniel Kasmayudin dan juara CP115, Akid Aziz.

"Untuk musim ini, saya juga mungkin akan beraksi di pentas Asia (ARRC) tetapi belum tahu apakah kelas perlumbaan yang bakal disertai. Pasukan juga saya masih belum tahu tetapi ia masih di bawah Maju Motor," kata pelumba berusia 21 tahun itu.

526 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »