Khamis, 11 Januari 2018 | 12:05am
Pengerusi Formula 1, Chase Carey (kiri) bersama Datuk Bandar dan menteri perniagaan Denmark, Brian Mikkelsen pada sidang media di Copenhagen, Denmark, hari ini. - Foto REUTERS

Denmark venue baru F1?

COPENHAGEN: Pelumba Formula Satu (F1) mungkin akan berlumba merentasi jambatan dan sekitar jalan di Coppenhagen pada 2020 di bawah perancangan yang dikemukakan konsortium Denmark kepada pemilik sukan berkenaan.

Pengerusi Formula 1, Chase Carey membincangkan cadangan itu bersama datuk bandar dan menteri perniagaan negara itu ketika melakukan lawatan ke Copenhagen.

"Kami teruja dengan peluang untuk menerokai potensi melangsungkan perlumbaan di Denmark. Saya fikir Copenhagen akan mewakili kebanyakan lokasi dan kami merasakan ia boleh dijadikan platform yang bagus," katanya sambil bertegas belum ada sebarang keputusan muktamad dicapai.

Pemilik Formula 1, Liberty Media mempunyai perancangan untuk membentuk semula sukan itu dan mensasarkan lokasi baharu sebagai pasaran utama termasuk di Amerika Syarikat dan Asia.

Konsortium antara bekas menteri, Helge Sander dan bekas Ketua Pengawai Eksekutif Saxo Bank, Lars Seier Christensen melihat perlumbaan di Copenhagen pastinya akan membuka 'laluan' untuk lokasi lain di Scandinavia.

"Mereka tidak hanya melihat kepada Copenhagen saja sebaliknya turut membabitkan semua tempat di Scandinavia, yang dilihat sebagai potensi pasaran," kata Christensen. -Reuters

261 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »