Rabu, 7 March 2018 | 8:12pm
HAFIZH Syahrin merupakan pelumba pertama dari Asia Tenggara bertanding dalam MotoGP.

Tiada jalan pintas lahir penunggang berkaliber 

KUALA LUMPUR: Bapa Hafizh Syahrin Abdullah menegaskan tiada jalan pintas menuju kejayaan apabila memperkatakan mengenai usaha membentuk pelumba berkaliber yang mampu meraih pencapaian hebat dalam sukan itu.

Malah, Abdullah Harun, 50, percaya bahawa pelumba perlu diberikan asas yang kukuh dalam sukan itu sebelum dibenarkan berlumba.

Hafizh, baru-baru ini menyertai  Monster Yamaha Tech3, menjadikannya pelumba pertama dari Asia Tenggara bertanding dalam MotoGP.

"Jika anda lihat kepada bagaimana orang Eropah membentuk pelumba mereka, mereka lebih bersabar dalam pendekatan dan fokus terhadap asasnya dan kurang memberi penekanan terhadap perlumbaan pada peringkat awal," kata Abdullah.

"Pelatih hanya akan membenarkan pelumba mereka berlumba apabila benar-benar yakin dengan kemampuan mereka menangani situasi ketika perlumbaan.

"Begitu juga dengan saya, saya percaya kita perlu mendidik dan melatih pelumba dengan baik sebelum membenarkan mereka berlumba. Begitulah caranya saya membentuk Hafizh, tiada jalan pintas untuk kejayaan.

"Anda perlu melakukannya secara beransur-ansur, tidak boleh berada di tahun dua atau tiga dan terus ke universiti. Anda perlu ke sekolah menengah dan kemudian pra-universiti dan sebagainya."

Abdullah yang membimbing Hafizh sepanjang kariernya sejak usia muda menambah, beliau berharap dapat membantu lebih ramai pelumba berjaya dalam sukan itu. 

Beliau sendiri mempunyai sejarah panjang dalam sukan permotoran sebagai seorang mekanik.

"Menjadi hasrat saya membentuk lebih ramai pelumba seperti Hafizh di Malaysia dan pada ketika ini saya membantu ONEXOX TKKR Racing Team.

"Saya harap dapat membawa pelumba mereka bertanding di peringkat lebih tinggi seperti CEV atau pertandingan peringkat tinggi yang lain."

Ketika ini, pelumba TKKR bertanding di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan Kejuaraan Cub Prix Malaysia sepanjang musim ini.

1012 dibaca
Berita Harian X