Khamis, 8 March 2018 | 11:11am
RICCIARDO yang melengkapkan 165 pusingan, mencatat 1min 18.047s pada sesi ujian masa. - FOTO REUTERS

Red Bull lakar rekod baru

BARCELONA: Pelumba Australia, Daniel Ricciardo meletakkan dirinya sebagai antara calon juara dunia apabila merakam rekod baru sepusingan di Montemelo bersama jentera Red Bull sambil McLaren berdepan satu lagi masalah.

Ricciardo yang melengkapkan 165 pusingan, mencatat 1min 18.047s, membaharui rekod lama yang dipegang Felipe Massa bersama Ferrari sejak 10 tahun lalu.

"Ia hari yang baik untuk saya. Saya berjaya melepasinya," kata Ricciardo yang dijadualkan mengharungi sesi ujian kelmarin tetapi diketepikan akibat demam.

"Perancangan hari ini berjalan baik tetapi saya fikir masih banyak yang boleh kami lakukan. Bagaimanapun, semuanya berjalan lancar dan saya rasa ia sangat hebat. Saya mampu tidur lena malam ini."

Dia menambah: "Kalau boleh saya mahu menamatkan pusingan satu saat lebih cepat tetapi kami akan lakukannya pada hari perlumbaan sebenar nanti. Daripada segi persiapan, kami berada di kedudukan betul dan saya yakin kami sudah sedia."

Juara dunia, Lewis Hamilton mencatat masa kedua terpantas manakala rakan sepasukannya di Mercedes, Valtteri Bottas di tempat ketiga.

"Tugas kami masih berjalan tetapi ia menuju ke arah yang betul. Pasukan sedang berusaha keras - di sini dan juga di kilang - untuk terus meningkatkan tahap kemampuan jentera kami," kata juara dunia empat kali, Hamilton.

Ketika Red Bull dan Mercedes mendominasi catatan, lain pula halnya dengan bekas juara, McLaren.

Sehari selepas masalah enjin dialami oleh Stoffel Vandoorne, kini tiba giliran juara dunia dua kali, Fernando Alonso untuk kecewa.

Pelumba Sepanyol itu hanya mampu melengkapkan 47 pusingan sebelum enjinnya mengalami kebocoran dan memaksa McLaren yang dipandunya kembali ke hentian pit dan mekanik mengambil masa enam jam untuk memasang enjin Renault yang baru.

Alonso kembali ke litar sebelum sesi ujian berakhir untuk melengkapkan 10 pusingan lagi.

McLaren mencatat jumlah pusingan paling rendah berbanding pasukan lain ketika tirai musim ini bakal disingkap di Litar Melbourne, Australia, 25 Mac ini.

"Saya harap masalah ini tidak berulang di Melbourne," kata Alonso.

"Ia satu pengajaran baik dan saya gembira apabila jurutera kami terus berusaha menghasilkan jentera yang mantap.

"Saya tidak bimbang dengan catatan masa yang gagal kami lakukan hari ini. Jika kami terpaksa ke Australia esok, saya tidak ada masalah." - AFP

496 dibaca
Berita Harian X