Jumaat, 9 March 2018 | 5:33pm
PELUMBA negara, Zulfahmi Khairuddin masih mencari penyelarasan sesuai ke atas jenteranya menjelang pembukaan musim baharu Moto2 di Grand Prix (GP) Qatar, 18 Mac ini. - Foto FB SIC Racing Team

Zulfahmi beri petanda positif

KUALA LUMPUR: Kekangan masa di trek menjadi penghalang kepada pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin untuk mencari penyelarasan sesuai ke atas jenteranya menjelang pembukaan musim baharu Moto2 di Grand Prix (GP) Qatar, 18 Mac ini.

Ujian rasmi selama tiga hari yang berakhir di Circuito de Jerez, semalam berlangsung dalam keadaan cuaca tidak menentu dan pelumba SIC Racing itu hanya menyertai empat daripada sembilan sesi keseluruhan.

Namun, pelumba berusia 26 tahun itu mempamerkan peningkatan dengan melakukan catatan sepusingan terbaik 1 minit 44.476 saat di sesi kelima, Rabu lalu.

"Kami memperoleh masa di trek yang terlalu sedikit kerana keadaan cuaca yang tidak begitu baik," kata Zulfahmi. 

"Saya gembira dapat kembali menunggang jentera ini tetapi kami tidak mempunyai banyak masa untuk menguji penyelarasan berbeza.

"Namun secara keseluruhannya, saya gembira dengan peningkatan dilakukan dan harap kami mampu menjadi kompetitif di Qatar nanti."

Zulfahmi sebelum ini mengisi ruang dikosongkan Hafizh Syahrin Abdullah bagi membolehkan pelumba muda itu beraksi di kelas perdana MotoGP bersama pasukan Monster Yamaha Tech3.

GP Qatar menjadi pusingan pertama daripada 19 pusingan kalendar 2018 dengan Litar Antarabangsa Buriram di Thailand mengisi slot baharu dalam kempen kali ini.

1147 dibaca
Berita Harian X