Selasa, 13 March 2018 | 10:24pm
BEKAS pelumba negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini Zaini (lapan dari kiri) bersama icon cub prix, Azlan Shah Kamaruzaman (enam dari kanan) pada program Klinik Cub Prix KBS di Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur. - Foto Owee Ah Chun
SHAHROL Yuzy Ahmad Zaini Zaini (kanan) pada program Klinik Cub Prix KBS di Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur. - Foto Owee Ah Chun
AZLAN Shah Kamaruzaman (kiri) memerhati peserta pada program Klinik Cub Prix KBS di Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur. - Foto Owee Ah Chun

Klinik Cub Prix cungkil bakat terpendam

KUALA LUMPUR: Dua puluh dua venue akan menjadi lokasi Klinik Cub Prix seluruh Malaysia pada tahun ini dengan siri pertama berlangsung di Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur, hari ini.

Seramai 100 peserta mengambil bahagian pada siri pertama dengan dua peserta bakal ke pemilihan terakhir di Litar Tangkak, Johor hujung tahun ini untuk beraksi di kelas Perlumbaan Satu Pengeluar (OMR) Kejuaraan Cub Prix Malaysia, tahun depan.

"Tujuannya adalah untuk mendidik belia supaya berlumba dengan cara yang betul dan tidak berlumba dengan mengikut hati di jalan raya," kata Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Mohd Azhari Mohammad, hari ini.

"Mereka boleh menjadi pelumba seperti Azlan Shah (Kamaruzaman), Shahrol Yuzy (Ahmad Zaini) dan mungkin ramai yang nak jadi seperti Hafizh (Syahrin Abdullah), menyertai kelas MotoGP (tahun ini).

"Inilah antara sebab kenapa kita mahu mendidik mereka untuk belajar dan menjadi atlet yang baik di masa akan datang."

Siri kedua klinik dikendali bekas pelumba negara, Yuzy dan pelumba di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Azlan Shah itu dijadual berlangsung di Felda Sendayan, Negeri Sembilan, 19 Mac ini.

Program kali pertama diadakan ini juga bakal mencari bakat terpendam di Sabah dan Sarawak.

"Akan ada satu (klinik) di Sabah dan satu di Sarawak. Sekiranya menerima sambutan yang baik, mungkin pada masa akan datang, kami akan perluaskan lagi," kata Mohd Azhari.

361 dibaca
Berita Harian X