Rabu, 14 March 2018 | 7:12pm
PRINSIPAL pasukan Monster Yamaha Tech3, Herve Poncharal percaya lebih banyak peluang yang memungkinkan kerjasama antara kedua-dua pihak. 

Tech3 sedia bekerjasama dengan SIC

KUALA LUMPUR: "Razlan, saya orang anda, terpulang kepada anda untuk mengambil peluang ini, saya sudah bersedia."

Itu ialah komen prinsipal pasukan Monster Yamaha Tech3, Herve Poncharal apabila ditanya sama ada wujud kemungkinan pasukan berkenaan akan membentuk kerjasama dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC), tahun depan.

Selepas pasukan itu menandatangani Hafizh Syahrin Abdullah dengan Ketua Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali memainkan peranan penting, Poncharal percaya lebih banyak peluang yang memungkinkan kerjasama antara kedua-dua pihak. 

"Membentuk logistik dan kontrak berhubung Hafizh dalam saingan MotoGP adalah saat yang hebat bersama Razlan," kata Poncharal.

"Saya amat menghormati Razlan dan juga kerajaan Malaysia serta pegawai kerana apa yang sudah mereka lakukan sekitar Sepang.

"Kami saling mengenali dan kami tahu sukan ini, perniagaan ini sedang berkembang di rantau ini. Jadi apa saja yang Razlan dan organisasinya mahu lakukan bersama Tech3, saya sentiasa terbuka. Mereka amat dialu-alukan.

"Saya juga Presiden Persatuan Pasukan Perlumbaan Antarabangsa (IRTA) dan bekerjasama rapat dengan Carmelo Ezpeleta (CEO Dorna) dan keseluruhan syarikat Dorna yang juga promoter dan pemilik MotoGP."

Poncharal dengan pasukannya dianggap antara yang terkuat antara pasukan satelit bersaing dalam MotoGP berkata, selain suasana serta kemudahan hebat, Sepang juga terkenal dengan peluang mewujudkan konsep perniagaan ke perniagaan (B2B).

"Sepang adalah antara litar terbaik di dunia dan mungkin terbaik dalam aspek lakaran teknikal, kemudahan dan juga keselamatan. Kerana itu kami menggunakannya dengan banyak untuk musim sejuk," kata Poncharal.

"Pasukan Razlan sudah melakukan yang terbaik untuk mendapatkan lebih 100,000 peminat pada hari perlumbaan dan suasananya amat menakjubkan, namun penonton juga ramai di paddok. 

"Banyak pasukan utama dan syarikat hadir di sana (ketika perlumbaan hujung minggu) dan ia memang sesuatu yang bagus. Ramai orang memberitahu saya paddok (Sepang) adalah nombor satu di dunia dalam aspek B2B." 

Poncharal sudah hadir ke Malaysia sejak Grand Prix Malaysia pertama diadakan di Litar Shah Alam pada 1991.

1324 dibaca
Berita Harian X