Ahad, 15 April 2018 | 8:35pm
MUIZZ Musyaffa (tengah) meraih kemenangan pertamanya pada Perlumbaan 6 F4 SEA pada awal minggu pusingan penutup bagi musim 2017/18. - Foto Formula 4 SEA

Muizz raih kemenangan pertama F4 SEA

SEPANG: Muizz Musyaffa meraih kemenangan pertamanya pada Perlumbaan 6 Formula 4 Asia Tenggara (F4 SEA) meskipun mengakui bergelut mencari keserasian dengan jentera pada awal minggu pusingan penutup bagi musim 2017/18 kejuaraan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Muizz yang beralih ke F4 SEA daripada perlumbaan go-kart sebelum ini berkata, dia sedikit bergelut terutamanya pada sesi latihan bebas pada Rabu dan terus mencari keserasian diperlukan dengan jentera.

Pemandu berusia 16 tahun itu bagaimanapun dilihat mula menemui rentaknya pada Perlumbaan 1 apabila berjaya menamatkan saingan di tangga keempat.

Muizz yang pernah pernah muncul juara dunia dalam Piala Kejuaraan Siri Karting Dunia (WSK) dalam kelas Siri Masters WSK 2014 seterusnya bangkit meraih penamat kedua pada Perlumbaan 4 hari ini sebelum menyambar kemenangan pertamanya pada Perlumbaan 6.

"Bermula daripada hari Rabu, ia agak susah sedikit. Daripada sesi latihan bebas (pada Rabu) hinggalah ke hari Ahad, memang agak sukar sedikit terutama untuk mencari masa sesuai bagi membrek dan cuba untuk kurangkan jarak masa dengan pemandu terpantas.

"Pada akhirnya, saya dapat penamat di podium, jadi bagi saya ia adalah satu keputusan yang baik.

"Namun penamat di podium bukanlah segala-galanya kerana bagi saya, sekiranya keputusan bagus maka perlumbaan akan secara sendirinya menjadi lebih menarik," katanya.

Keputusan bagi kedudukan keseluruhan bagi musim 2017/18 dijadual diumumkan dalam satu majlis penuh meriah, Jun ini.

 

Keputusan 5 terbaik

Perlumbaan 4 F4 SEA

1. Alessandro Ghiretti (FRA) 21:22.669s

2. Muizz Musyaffa (MAS) 21:22.904s

3. Presley Martono (INA) 21:23.333s

4. Hibiki Taira (JPN) 21:23.647s

5. Kane Shepherd (THA) 21:23.898s

 

Perlumbaan 5 F4 SEA

1. Presley Martono (INA) 20:24.464s

2. Alessandro Ghiretti (FRA) 20:28.837s

3. Nazim Azman (MAS) 20:32.694s

4. Isyraf Musyaffa (MAS) 20:32.943s

5. Muizz Musyaffa (MAS) 20:33.716s

 

Perlumbaan 6 F4 SEA

1.Muizz Musyaffa (MAS) 20:31.779s

2.Isyraf Danish (MAS) 20:36.194s

3.Presley Martono (INA) 20:36.945s

4.Kane Shepherd (THA) 20:37.187s

5.Hibiki Taira (JPN) 20:37.451s

229 dibaca
Berita Harian X