Ahad, 15 April 2018 | 9:42pm
PELUMBA The Doctor Mayhem Racing Team, Keifli Othman dan Pee Sau Fan (no 46) meraih kemenangan pada Perlumbaan 2 Siri Kejuaraan Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

Keifli jaga makan sebelum Pusingan 3 MCS

SEPANG: Pemandu The Doctor Mayhem Racing Team gembira dengan kemenangan yang diraih pada Perlumbaan 2 Siri Kejuaraan Malaysia (MCS) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini sekali gus mengharapkan lebih kejayaan untuk pusingan seterusnya, Julai ini.

Pelumbanya, Keifli Othman dan Pee Sau Fan menamatkan 22 pusingan perlumbaan dengan catatan 1 jam 1 minit 16.689 saat, meninggalkan pemenang tempat kedua, Sim Kwong Teck/Tony Yeo (Tedco Racing), 12.915s.

Tempat ketiga bagi kelas Touring Production (TP) dimenangi rakan sepasukan Kwong Teck dan Tony, Mark Darwin/Boy Wong Yew Choong dengan catatan, 1:01:38.870s.

Mengulas mengenai perlumbaan hari ini yang berlangsung dalam cuaca baik, Keifli berkata mereka menggunakan strategi sama di mana Sau Fan memulakan saingan sebelum dia mengambil tugas di pertengahan sehingga garisan penamat.

"Semalam, perlumbaan berlangsung dalam keadaan hujan lebat namun hari ini lebih baik," kata Keifli yang kini meletak tumpuan penuh kepada Pusingan 3 musim yang dijadual berlangsung pada 13 hingga 15 Julai ini.

"Sebagai persediaan, kami akan cuba memperbaiki kawalan dan kemudian memperkemaskan kecergasan fizikal.

"Seperti kita tahu, hari raya Aidilfitri tidak lama lagi, jadi mungkin kami perlu menjaga faktor pemakanan dan berharap saya dapat berada dalam keadaan yang baik untuk Pusingan 3 nanti."

Sementara itu, Yew Choong mendedikasikan penamat ketiga yang diraih ini buat rakan gandingannya Darwin yang melangsungkan perkahwinannya dengan pilihan hati, Vanessa Goh hari ini.

"Saya sebenarnya berharap untuk menghadiahkan penamat pertama buat Mark. Namun, persaingan amat sukar hari ini. Diharap kami dapat kembali meraih kemenangan pada pusingan seterusnya," katanya.

261 dibaca
Berita Harian X