Isnin, 16 April 2018 | 10:42pm
PELUMBA negara, Zaqhwan Zaidi tidak dapat beraksi ARRC di Australia berikutan pertindihan jadual dengan Kejuaraan Seluruh Jepun di Litar Suzuka.

Zaqhwan terlepas aksi pertama ARRC di Australia

KUALA LUMPUR: Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) bakal membuat penampilan pertama di Australia apabila pusingan kedua musim 2018 dijadual berlangsung di Litar The Bend Motorsport Park pada Jumaat hingga Ahad ini.

Bagaimanapun, juara keseluruhan bagi kelas SuperSports 600cc pada tahun 2016, Zaqhwan Zaidi tidak dapat beraksi berikutan pertindihan jadual dengan Kejuaraan Seluruh Jepun di Litar Suzuka.

"Saya terlepas Pusingan 2 ARRC kerana menyertai Pusingan 2 Kejuaraan Seluruh Jepun dalam kelas JSB1000 di Suzuka," kata Zaqhwan.

"Berikut pertindihan jadual itu, pasukan memutuskan untuk saya memberi tumpuan kepada JSB1000 pada minggu ini."

Zaqhwan menamatkan dua perlumbaan Pusingan 1 Kejuaraan Seluruh Jepun di Litar Twin Ring Motegi, masing-masing di tangga ke-19 dan 14, namun menunjukkan peningkatan daripada sudut catatan masa.

Apapun, persaingan di Australia bakal terus rancak dengan juara kelas sama tahun lalu, Azlan Shah Kamaruzaman bakal mencari kemenangan sulung di litar berkenaan bagi memburu kedudukan pertama keseluruhan selepas ketinggalan 13 mata daripada pendahulu ketika ini dari Australia, Anthony West.

Azlan dari pasukan Manual Tech KYT Kawasaki Racing menamatkan kedua-dua perlumbaan pada pusingan pembuka tirai di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand di tangga ketiga manakala West menemui garisan penamat masing-masing di tangga kedua dan pertama.

Selain perlumbaan ARRC, perlumbaan minggu ini turut dijalankan serentak bersama saingan Kejuaraan Australia Superbike (ASBK) di litar sepanjang 4.95 kilometer yang terletak berhampiran Tailem Bend, 100 kilometer di selatan Adelaide itu.

307 dibaca
Berita Harian X