Selasa, 17 April 2018 | 3:59pm
PELUMBA negara, Azlan Shah Kamaruzaman (depan) perlu menggunakan peluang di ARRC Australia mengumpul mata maksimum sebagai bekalan penting untuk pusingan akan datang.

Azlan ada kelebihan di ARRC Australia

 

KUALA LUMPUR: Pendahulu keseluruhan kelas SuperSports 600cc, Anthony West tidak akan beraksi pada Pusingan Kedua Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Australia sekali gus memberi ruang buat pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman merampas kedudukan.

Pelumba tuan rumah, West tidak dapat beraksi di litar The Bend Motorsport Park hujung minggu ini kerana memberi tumpuan kepada saingan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dalam kategori Supersports yang berlangsung pada tarikh sama.

Selain West, turut tidak beraksi di pusingan julung kali di bumi Australia itu adalah penghuni tangga ketiga keseluruhan, Thitipong Warokorn kerana beraksi atas tiket 'wildcard' manakala pencabar lain, Mohd Zaqhwan Zaidi juga mempunyai tumpuan lebih utama di Kejuaraan Seluruh Jepun.

Azlan yang mewakili pasukan Manual Tech KYT Kawasaki Racing ketika ini berada di tangga kedua keseluruhan dengan 32 mata, 13 mata ketinggalan di belakang West.

"Atas kertas, memang saya nampak mempunyai kelebihan, tetapi minggu ini baru memasuki pusingan kedua dan masih ada baki banyak perlumbaan lagi," kata juara keseluruhan tahun lalu itu.

"Jadi saya tidak melihat ia sebagai satu kelebihan sebaliknya lebih menumpukan kepada prestasi sendiri.

"Cuma yang penting saya perlu menggunakan peluang ini untuk mengumpul mata maksimum sebagai bekalan penting untuk pusingan akan datang.

"Walaupun mereka tiada, cabaran hebat pasti datang dari pelumba Thailand dan juga rakan sepasukan saya sendiri serta pelumba 'wildcard' tuan rumah."

Mengulas mengenai cabaran di litar baharu yang pertama kali berada dalam kalendar ARRC, Azlan berkata: "Saya difahamkan litar ini baru siap manakala cuaca juga mungkin agak sejuk.

"Kami perlu mengumpul data dan mendapatkan pelarasan terbaik secepat mungkin. Sesi pada hari pertama sangat penting buat pasukan.

"Laluan lurus yang panjang dan litar 'berkelajuan tinggi' mungkin memberi sedikit kelebihan kepada jentera Kawasaki. Saya berharap semuanya akan berjalan lancar nanti."

218 dibaca
Berita Harian X