Selasa, 17 April 2018 | 5:35pm
PELUMBA negara, Zulfahmi Khairuddin kini masih dalam proses mempelajari selok belok Moto2. - Foto SIC Racing

Zulfahmi tekad lebih laju di Texas

KUALA LUMPUR: Dua pusingan musim 2018 di Grand Prix (GP) Qatar dan Argentina banyak membantu pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin untuk mengenali dan mempelajari jentera Moto2 dengan lebih baik lagi.

Bagi pelumba SIC Racing yang membuat kemunculan pertamanya dalam kelas pertengahan itu, dia kini masih mencari keserasian dengan jenteranya tatkala catatan masa sepusingan daripada dua pusingan lalu menunjukkan peningkatan positif.

Menamatkan kedua-dua pusingan di tangga ke-28 dan ke-26, Zulfahmi berkata, dia kini masih dalam proses mempelajari selok belok Moto2 yang baginya amat jauh berbeza dengan kejuaraan disertainya sebelum ini di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dalam kelas Supersports.

Justeru, menjelang GP Amerika Syarikat yang bermula Jumaat ini, Zulfahmi mengharapkan cuaca baik dapat membantu bagi memperbaiki catatan masa sepusingan, bermula dari sesi latihan bebas pertama lagi.

"Di Texas nanti, saya mengharapkan cuaca baik dan ingin memperbaiki lagi keserasian dengan motosikal," kata Zulfahmi. 

"Saya yakin di Argentina sebelum ini, saya sudah mengurangkan jurang masa ke dua saat ketika ujian latihan bebas 1 yang berlangsung dalam keadaan trek kering.

"Jadi, saya rasa langkah demi langkah dan hari demi hari tunggangan saya sudah meningkat, cuma ia perlu mengambil sedikit masa.

"Saya tengah belajar secepat mungkin terutamanya dari sudut keserasian bersama jentera Moto2 ini. Saya harap di Texas nanti, cuaca baik dan dapat berada di kedudukan yang baik dari awal sesi latihan bebas sehinggalah hari perlumbaan."

Zulfahmi pada pra musim lalu mengisi slot ditinggalkan Hafizh Syahrin Abdullah selepas pelumba berusia 23 tahun itu diangkat untuk beraksi dalam kelas perdana, MotoGP bersama pasukan Monster Yamaha Tech3.

464 dibaca
Berita Harian X