Khamis, 11 Oktober 2018 | 7:05pm
NABIL Jeffri. - Arkib NSTP

Trio negara cari kemenangan di Jepun

KUALA LUMPUR: Biarpun masa depan mereka untuk musim 2019-2020 masih belum terjamin, pemandu negara di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) Nabil Jeffri serta rakan sepasukan Jazeman Jaafar dan Weiron Tan tetap mencari penamat terbaik di perlumbaan Enam Jam Fuji hujung minggu ini.

Trio dalam program pembangunan bakat Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam kelas LMP2 pada pusingan di Silverstone, Ogos lalu dan Nabil optimis mereka mampu menonjol di Jepun nanti.

“Saya rasa pasukan kami agak kuat, Jazeman, Weiron dan saya sudah semakin mengenali antara satu sama lain ketika ini dan kami juga mengetahui pesaing kami dengan baik,” kata pemandu berusia 24 tahun itu.

“Kami mempunyai peluang yang baik untuk berada di podium di Fuji tetapi sekiranya mampu, kami mahukan yang lebih lagi, kami mahu memenanginya dan juga kejuaraan.

“Kami perlu kekal tenang dan juga  berharap tuah memihak kepada kami. Kami melakukan yang baik di Spa Francorchamps, mempunyai kelajuan yang baik di Le Mans dan juga mampu meraih kemenangan di Silverstone yang menyaksikan kami mendahului saingan, sekiranya tidak mengalami masalah.”

Selepas tiga pusingan, trio yang mewakili pasukan Jackie Chan DC Racing X Jota itu kini berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 61 mata.

Pemandu pasukan Signatech Alpine Matmut, Nicolas Lapierre, Pierre Thiriet dan Andre Negrao mendahului kejuaraan dengan 72 mata manakala rakan sepasukan yang memandu kereta berlainan, Ho Pin Tung, Gabriel Auby dan Stephane Richelmi ketiga, 68 mata.

SIC sebelum ini mengesahkan yang masa depan trio berkenaan bergantung kepada sama ada mereka mempunyai peruntukan untuk terus menyertai saingan bagi musim 2019-2020.

Dan dengan kerajaan dilihat cuba mengurangkan perbelanjaan ketika ini, banyak persoalan kini menjadi tanda tanya.

Nabil bagaimanapun percaya, kejayaan untuk bergelar juara bakal membantu mereka untuk terus bersaing di WEC.

“Memenangi gelaran keseluruhan adalah pelan utama, saya tidak pernah meletakkan keyakinan yang pendahulu (Signatech) tidak boleh ditewaskan. Mereka boleh ditewaskan,” kata Nabil.

“Saya sedar yang pada masa ini masih belum ada kata muktamad untuk kami bagi saingan musim seterusnya (2019-2020).

“Sekiranya kami tidak menang, mungkin sukar untuk memberi keyakinan bagi musim seterusnya. Malah sekiranya kami menamatkan saingan di tangga kedua, orang ramai masih boleh menjadikannya alasan untuk tidak meneruskannya.

“Sekiranya menang, ia akan memudahkan tugas SIC (mencari dana).”

215 dibaca
Berita Harian X