Jumaat, 12 Oktober 2018 | 3:48pm
GAMBAR fail, Zulfahmi Khairuddin. - Foto Hafiz Sohaimi

Zulfahmi pikul dua tugas di Sentul

KUALA LUMPUR: Zulfahmi Khairuddin memikul dua tugas pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) - bukan sahaja selaku pengurus SIC Junior ZK Racing tetapi juga pelumba pasukan itu.

Bekas pelumba Moto2 dan juga Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia itu akan menggantikan pelumba asal Muhammad Ibrahim Norrodin di Sentul, Indonesia minggu ini selepas anak didiknya itu menyambung pelajaran di Giat MARA, Johor.

Menurut Zulfahmi, situasi dihadapinya itu adalah sesuatu yang baharu dan berharap saingan dalam kelas SuperSports 600cc berlangsung dengan lancar.

“Perasaan saya agak pelik kerana saya menguruskan pasukan dan pada masa sama, saya juga berlumba,” kata Zulfahmi yang kali terakhir beraksi di pentas kompetitif pada Mei lalu di Grand Prix (GP) Sepanyol.

“Saya ada bertanyakan pendapat dengan sesetengah pihak (sebelum membuat keputusan berlumba) dan saya juga yakin masih boleh berlumba. Jadi, saya mengambil peluang ini untuk berlumba di Sentul.

“Harap kami dapat menamatkan perlumbaan dengan baik dan bersaing mencari kedudukan bermula daripada sesi latihan bebas pertama hingga hari perlumbaan nanti.”

Zulfahmi berkata, dia membuat keputusan itu selepas syarat penyertaan pelumba untuk kelas berkenaan adalah 16 tahun ke atas.

“Saya menggantikan Ibrahim kerana dia sambung belajar di Johor dan tak dapat meneruskan perlumbaan sehingga akhir musim ini.

“Pada masa sama, saya tak dapat cari pengganti sebab semua pelumba di bawah (program) Impian ke MotoGP adalah 15 tahun dan syarat penyertaan 16 tahun,” katanya.

261 dibaca
Berita Harian X