Ahad, 13 Ogos 2017 | 8:00am
USAIN Bolt cedera ketika acara lari berganti 4x100m pada Kejohanan Olahraga Dunia di Stadium London, semalam. - Foto AFP/Daniel Leal-Olivas

Tiada lagi pingat emas buat Bolt, Farah

LONDON: Legenda olahraga, Usain Bolt dan Mo Farah memperoleh detik terindah dalam karier mereka di Sukan Olimpik London 2012, namun lima tahun kemudian di stadium sama semalam, ia nyata berubah menjadi derita.

Bolt yang menjuarai acara 100 dan 200 meter (m) individu dan 4x100 lari berganti-ganti di London 2012, mengalami kecederaan ketika menjadi tonggak pasukan Jamaica dalam acara 4x100m lari berganti-ganti.

Pihak penganjur membawa kerusi roda tetapi legenda yang menunjukkan riak muka kesakitan itu bagaimanapun lebih selesa dipapah keluar daripada garisan trek.

"Dia tidak memberitahu kami apa yang berlaku tetapi daripada apa yang saya lihat, ia tampak seperti kekejangan," kata rakan pasukan, Julian Forte.

"Dia sering kali memohon maaf kepada kami tetapi kami memberitahu yang dia tidak ada melakukan apa-apapun kesalahan ... kecederaan adalah sebahagian daripada sukan."

Juara 110m berhalangan Jamaica, Omar McLeod dan rakan pasukan dalam acara berganti-ganti berkata, insiden itu sama sekali tidak akan menggugat reputasi Bolt.

"Nama Usain Bolt sentiasa akan disebut-sebut," katanya.

Sementara itu, atlet Britain, Farah, yang mempertahankan pingat emas acara 5,000m dan 10,000m di London 2012, mengerah kudrat dan semangat dalam lariannya namun buat kali pertamanya dalam tempoh enam tahun pertandingan dunia, dia terpaksa berpuashati meraih perak di belakang Muktar Edris dari Habsyah (Ethiopia).

Farah yang memulakan saingan kejohanan dunia dengan penuh gaya memenangi acara 10,000m, ketinggalan di belakang Edris namun terus berusaha untuk melepasi seteru mudanya sehingga ke garisan penamat.

"Ia sangat menakjubkan. Ia satu perjalanan yang jauh tetapi ia sangat menakjubkan," kata Farah yang menerima sokongan padu daripada penyokongnya. -

- AFP

16452 dibaca
Berita Harian X