Selasa, 22 Ogos 2017 | 11:32pm
KHAIRUL HAFIZ JANTAN berjaya merangkul pingat emas dalam acara 100M lelaki akhir sempena Sukan SEA KL2017 di Stadium Bukit Jalil. - Foto Yazit Razali

'Terima kasih semua'

KUALA LUMPUR: Khairul Hafiz Jantan menamatkan kemarau emas 14 tahun acara riben biru apabila menjuarai larian pecut 100 meter (m) di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Pelari muda berusia 19 tahun itu mengungguli saingan dengan catatan 10.38s untuk mengalahkan juara edisi lalu dari Filipina, Eric Shauwn Cray 10.43s (perak) dan pelari Thailand, Kritsada Namsuwun (10.43s).

"Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia, jurulatih saya (Mohd Poad Md Kassim) yang memberikan sokongan. Perasaan saya memang gembira, tak tahu nak cakap apa dan ini hadiah untuk ayah, keluarga dan semua rakyat Malaysia.

"Sewaktu final ada rasa gentar tapi saya mampu untuk dapatkan pingat emas dan Alhamdulillah, janji saya kepada jurulatih dan semua penyokong untuk mendapatkan pingat emas terhasil.

"Kejayaan ini amat istimewa kerana ini adalah penyertaan pertama saya di Sukan SEA dan berjaya mendapat pingat emas," katanya ketika ditemui.


KHAIRUL HAFIZ (tengah) berjaya menewaskan atlet Filipina, Eric Cray dan atlet Thailand, Kritsada Namsuwun pibagi dalam 100m lelaki akhir Sukan SEA KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan


JAGUH pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan memeluk jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim selepas tamat acara 100m lelaki akhir di Stadium Bukit Jalil. - Foto Yazit Razali


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Abd Razak (dua dari kiri) berselfie dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (kanan) serta para pemenang, (dari kiri belakang); Eric Cray, Khairul Hafiz Jantan dan Kritsada Namsuwun selepas majlis penyampaian hadiah acara 100m lelaki akhir Sukan SEA KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

Khairul turut berharap semua rakyat Malaysia mendoakan kejayaannya untuk acara 200m dan 4x100 bersama rakan pasukan selepas ini.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas dalam acara 100m dan 200m adalah di Sukan SEA 2003 Hanoi, Vietnam menerusi Nazmizan Muhammad.

Rekod Sukan SEA acara pecut 100m ketika ini masih menjadi milik atlet Indonesia, Suryo Agung Wibowo dari Indonesia (10.17s) yang dicipta di Sukan SEA Laos pada 2009.

Khairul Hafiz yang digelar The Speedy Jantan adalah pemegang tiga rekod kebangsaan acara 100m (10.18s), 200m (20.90s) dan 4x100m (39.62).

Terdahulu, antara pelari yang turut menyertai Khairul Hafiz ke final adalah Cray; pemenang perak 2015, Yaspi Boby (Indonesia), pemilik gangsa 2015, Iswandi dari Indonesia; juara Sukan SEA Myanmar 2013, Jirapong Meenapra (Thailand), Kang Li Loong (Singapura), Jonathan Nyepa (Malaysia) dan Namsuwun.

Sementara itu dalam acara 100m wanita pula, Zaidatul Husniah Zulkifli merangkul pingat perak dengan catatan masa 11.74s sementara pingat emas milik pelari Vietnam Le Tu Chinh (11.56s) manakala gangsa dimenangi pelari Singapura, Pereira Veronica Shanti, 11.76s.

Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menyaksikan Malaysia meletakkan harapan kepada 36 atlet lelaki dan 27 wanita, menjadikan seramai 63 atlet bagi membantu negara mencapai matlamat Kita Juara 2017.

2996 dibaca
Berita Harian X