Jumaat, 25 Ogos 2017 | 10:58pm
PELARI pecut negara, Khairul Hafiz Jantan menerima ucapan tahniah daripada Jeneral Dahlan Al Ahmad (kanan), Naib Presiden IAAF merangkap Presiden AAA sambil diperhatikan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Foto Emel

KL2017: KOM cadang program khas olahraga

KUALA LUMPUR: Kagum dengan pemecahan rekod dan kutipan emas yang dilakukan atlet negara di Sukan SEA, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mahu menamakan lima daripada atletnya ke dalam Program Podium.

Lima atlet yang dimaksudkan ialah raja pecut baharu Sukan SEA, Khairul Hafiz Jantan, pelontar cakera Muhammad Irfan Shamsuddin, atlet lompat kijang Muhd Hakimi Ismail dan atlet baling tukul besi lelaki, Jackie Wong Siew Cheer dan atlet baling tukul besi wanita, Grace Wong Xiu Mei.

Selain itu, KOM juga sedang melihat peluang bekerjasama dengan kerajaan, Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) dan Persatuan Olahraga Asia (AAA) untuk membentuk satu program pembangunan khas untuk Khairul Hafiz.

Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berkata Program Podium itu akan membantu atlet untuk lebih cemerlang di peringkat antarabangsa selepas mempamerkan persembahan cemerlang dalam temasya dwitahunan itu.

"Saya akan berbincang mengenai program khas untuk Khairul dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kerana dia adalah bakat kita untuk ke Olimpik. Kita kena ambil contoh legenda pecut dunia Usain Bolt.

"Ketika Usain Bolt mencatatkan masa 10.14s pada usia 15 tahun, satu program khas telah dirancang, ia berjaya dan jadikannya pelari handalan dunia. IAAF terbabit dalam perancangan mereka, bekerjasama dengan persekutuan Jamaica dan menghasilkan Usin seperti sekarang ini.

"Kami berharap satu program serupa untuk Khairul Hafiz. Saya sudah menjemput Naib Presiden IAAF dan juga Presiden AAA Jen Dahlan Al Hamad ke Sukan SEA. Beliau telah bertemu dengan Khairul Hafiz dan Muhd Hakimi dan sedia membantu," katanya ketika ditemui di Stadium Nasional, di sini, hari ini.

Hanya tinggal satu hari sahaja lagi saingan, skuad olahraga negara menggandakan tiga pingat emas yang diperoleh di Sukan SEA Singapura dua tahun lalu kepada enam pingat emas pada edisi Kuala Lumpur 2017 kali ini.

Seperti dijangka, Muhammad Irfan mengekalkan emasnya, Khairul Hafiz menewaskan juara bertahan Eric Cray dari Filipina dalam 100m lelaki sementara Elena Goh Ling Yin memperoleh emas dalam 10,000m jalan kaki wanita.

Atlet tukul besi, Jackie dan Grace serta Muhd Hakimi memenangi emas dengan meleburkan rekod kejohanan sebelum ini.

Karim berharap dua lagi emas bakal diraih esok menerusi atlet lompat tinggi Nauraj Singh Randhawa dan Rayzam Shah Wan Sofian dalam 110m lari berpagar lelaki.

"Saya mahu katakan kejayaan ini adalah hasil rancangan awal kami menerusi program Kita Juara yang diwujudkan untuk Sukan SEA. Kami tegas dengan atlet dan selepas Sukan SEA semakin hampir, kami menilai statistik di sekitar rantau ini dan membuat perbandingan di mana mereka berada untuk menetapkan sasaran emas," katanya. - BERNAMA

4680 dibaca
Berita Harian X