Jumaat, 1 September 2017 | 5:36pm
JURULATIH olahraga, Poad Kassim (kiri) dan M Balamurugan (tengah) melihat video yang direkodkan pada sesi latihan kuartet 4x100m lelaki di padang MSN, Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

KL2017: Balamurugan puas anak buah cemerlang

KUALA LUMPUR: Jurulatih olahraga negara, M Balamurugan berpuas hati dengan keseluruhan prestasi dilakar oleh anak didiknya pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang berakhir pada Rabu lalu.

Beliau berkata, lapan pingat emas dimenangi sukan itu melebihi dua daripada sasaran ditetapkan, membuktikan olahraga negara mempunyai masa depan cerah kerana mempunyai barisan atlet pelapis berpotensi.

Katanya, kejayaan Zaidatul Husniah Zulkifli memenangi perak acara pecut 100m menerusi catatan 11.74s, turut menamatkan penantian selama 20 tahun negara melihat atletnya menaiki podium selepas kali terakhir dilakukan G Shanti menerusi kemenangan pingat emas pada 1997.

Pada temasya KL2017, Zaidatul Husniah turut memenangi pingat perak dalam acara 200m dengan kepantasan 23.64s.

Pencapaian terbaik anak didik Balamurugan adalah menerusi G Aravinn Thevarr yang mencipta kejutan memenangi pingat gangsa acara 200m lelaki (21.26s), dengan menewaskan Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan.

Seorang lagi atlet bimbingannya, Jonathan Nyepa juga membuktikan kecemerlangan apabila membantu kuartet 4x100m lelaki dianggotai Badrul Hisyam Abdul Manap, Nixson Kennedy dan Muhammad Haiqal Hanafi memecahkan rekod kebangsaan (39.27s), meskipun tidak memenangi pingat.

"Sebagai seorang jurulatih, saya berpuas hati dengan prestasi atlet secara keseluruhan. Husniah menamatkan penantian selama 20 tahun negara untuk menaiki podium selain melakar pencapaian terbaiknya.

"Aravinn juga membuktikan dia mampu memberi kejutan kerana tiga minggu sebelum KL2017 dia mengalami hamstring. Saya harap kuartet 4x100m lelaki juga dikekalkan kerana mereka masih muda," katanya.

Mengulas lanjut, Balamurugan memaklumkan yang semua atlet kini diberi cuti dan akan memulakan kembali latihan pada 5 September ini.

KL2017 yang melabuhkan tirai pada 30 Ogos lalu menyaksikan Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan dengan kutipan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.

Olahraga dilabelkan sebagai sukan cemerlang dengan lapan emas, lapan perak dan sembilan gangsa selain berjaya memecahkan empat rekod Sukan SEA serta tujuh rekod kebangsaan.

Kutipan lapan emas di KL2017 turut menyamai pencapaian dilakar di temasya sama pada 2001 dan 2003.

439 dibaca
Berita Harian X