Isnin, 11 September 2017 | 9:22pm
PELARI pecut negara, Khairul Hafiz Jantan menunjukkan replika cek bernilai RM8,000 yang diterima kerana berjaya meraih emas pada acara 100 meter pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia Melaka di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman

Speedy Jantan ingin segera pulih

MELAKA: Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan ingin segera pulih daripada kecederaan dan kini memberi tumpuan penuh kepada proses pemulihan selepas meraih emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bulan lalu.

Atlet 19 tahun dari Melaka itu berkata fokus beliau buat masa ini adalah untuk pulih sepenuhnya supaya dibenarkan menjalani semula latihan sebagai persediaan menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan.

"Alhamdulillah, keadaan saya kini semakin pulih dan berkemungkinan dua minggu lagi boleh kembali memulakan latihan," katanya pada perhimpunan bulanan anjuran Jabatan Penyiaran Melaka yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Idris menyampaikan insentif kepada 30 atlet dari negeri ini yang memperoleh pingat pada KL2017 bulan lalu, membabitkan peruntukan berjumlah RM269,000.

'The Speedy Jantan' menerima RM8,000 apabila atlet olahraga itu berjaya merangkul pingat emas bagi acara 100m, memecah rekod kebangsaan bagi acara 200m pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia (RM5,000) dan RM2,500 bagi acara 4x100m pada kejohanan sama. - BERNAMA

803 dibaca
Berita Harian X