Khamis, 12 Oktober 2017 | 1:22am
JURULATIH negara Mohd Poad Md Kassim cari pelapis atlet pecut selepas Khairul Hafiz Jantan. - Foto Rasul Azli Samad

Poad cari bakat baru

USAHA giat dilakukan bagi memastikan sukan olahraga terus gemilang bukan hanya di Sukan SEA malah jika boleh mengembalikan era kegemilangan Rabuan Pit di Sukan Asia dan Tan Sri Dr M Jegathesan di temasya Olimpik Mexico 1968.

Percaturan mula dilakukan oleh jurulatih pecut negara Mohd Poad Md Kassim bagi memastikan bakat dalam acara pecut khasnya tidak akan terhenti selepas tamatnya era kegemilangan Khairul Hafiz Jantan.

Tegasnya, beliau mahu melahirkan lebih ramai atlet pecut dan jika boleh mahu menjadi pesaing kepada Khairul Hafiz yang kini bukan hanya bergelar pemegang dua rekod kebangsaan 100 dan 200 meter malah turut bergelar raja pecut Asia Tenggara.

Justeru Program Merlimau Speed Demons iaitu program sekolah angkat olahraga mula diperkenalkan dengan menjadikan Sekolah Rendah Kebangsaan Serkam Darat sebagai sekolah perintis.

"Program ini sudah memasuki fasa kedua dan dalam fasa pertama seramai 100 pelajar dipilih untuk menyertainya.

"Dalam fasa kedua ini jumlah itu akan dikecilkan kepada 50 pelajar sahaja dengan program di bawah kendalian pegawai satelit Johor," katanya.

Fasa kedua program pencarian bakat itu akan berlangsung di tempat yang sama pada 16 Oktober ini yang mana mereka perlu menepati kriteria yang ditetapkan.

Antara yang ditekankan adalah melihat saiz fizikal pelajar termasuk kepantasan kaki selain bakat semula jadi sepanjang siri pertama yang lalu.

"Pemilihan ini bukan saya seorang saja tapi juga mengambil pandangan beberapa jurulatih yang mengendalikan program ini.

"Saya amat berharap program ini berjaya supaya menjadi contoh kepada sekolah lain," katanya.

Pada siri pertama penampilan Khairul Hafiz yang juga dikenali sebagai The Speedy Jantan serta Badrul Hisyam Abdul Manap bersama pelajar dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) menyuntik semangat peserta.

525 dibaca
Berita Harian X