Isnin, 30 Oktober 2017 | 1:52pm
ATLET lompat jauh kebangsaan, Luqman Hakim Ramlan beranggapan tahun ini serba tidak menjadi buat dirinya. - Foto Osman Adnan

Luqman mahu lupakan memori duka 2017

KUALA LUMPUR: Beberapa episod 'duka' tahun ini termasuklah ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) ingin dilupakan atlet lompat jauh kebangsaan, Luqman Hakim Ramlan.

Luqman kini mahu memberikan tumpuan penuh untuk tahun depan ketika 2017 hanya berbaki kira-kira dua bulan saja lagi.

Atlet itu beranggapan tahun ini serba tidak menjadi buat dirinya, apatah lagi mengalami cirit birit gara-gara keracunan makanan sebelum turun beraksi di hadapan penonton sendiri ketika temasya KL2017.

Perkara tidak diingini itu menyaksikan atlet berusia 22 tahun itu sekadar menamatkan saingan final di kedudukan kelapan dengan jarak lompatan 7.12 meter (m) sementara Abdul Latif Romly yang senasib dengan dirinya di tempat ketujuh (7.34m).

Begitupun 2017 menyaksikan Luqman berjaya melakar rekod peribadi terbaik dengan lompatan sejauh 7.62m di Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia, Lumut, Perak pada April lalu. Lebih membanggakan dirinya apabila pencapaian itu sudah mengatasi jarak milik jaguh paralimpik negara, Abdul Latif.


LUQMAN Hakim Ramlan ketika beraksi di Sukan SEA KL2017. - Foto Yazit Razali

"Tahun ini perancangan saya tidak menjadi tapi Alhamdulillah walaupun kurang menyerlah, saya masih ada persembahan yang baik.

"Saya ingin lupakan tahun ini kerana fokus saya tahun depan lebih besar, iaitu Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, Indonesia. Jika dapat sertai Sukan Komanwel (Gold Coast, Australia), ia adalah satu bonus," kata Luqman.

Mengulas lanjut, Luqman yang pernah layak secara automatik menyertai Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada 2014 berkata dia juga sedang memberikan tumpuan untuk pulih daripada kecederaan.

Katanya, dia mengalami masalah tulang belakang (slip disc) ketika menjalani latihan di gimnasium tetapi ia tidak menjejaskan dirinya daripada menyertai mana-mana kejohanan tahun depan.

268 dibaca
Berita Harian X