Khamis, 2 November 2017 | 7:54pm
JURULATIH Pecut Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar Johor, Mohd Poad Md. Kassim (dua dari kiri) memberi tunjuk ajar tentang latihan kepada pelari pecut kebangsaan Khairul Hafiz , (kanan) bersama Badrul Hisyam, (dua dari kanan) dan atlet olahraga yang lain ketika menjalani latihan harian di Sekolah Sukan Negeri (SSN), SMK Seri Kota di Jalan Ayer Leleh, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

Poad mahu bawa atlet ke Jepun

KUALA LUMPUR: Jurulatih pecut negara Mohd Poad Md Kassim mengharapkan ada pihak yang sudi tampil menghulurkan dana bagi membolehkan atlet pecut di bawah bimbingannya menimba ilmu di Jepun.

Tidak menafikan bantuan yang dihulurkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) banyak membantu perkembangan atlet olahraga namun ia masih lagi tidak mencukupi.

Katanya, ketika negara lain sedang rancak merencana program terbaik buat atlet mereka sebagai persiapan menghadapi Sukan Komanwel yang hanya berbaki lima bulan, barisan atlet pecut yang juga Raja Pecut Asia Tenggara Khairul Hafiz Jantan masih lagi berkampung di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar.

Perkara itu sedikit menggusarkan Poad kerana hampir separuh atlet Negara Matahari Terbit itu kini menghuni kelompok 10 terbaik Asia dengan catatan yang mungkin sukar untuk dikejar Khairul Hafiz justeru mana mungkin pelari terbaik negara itu mampu mengimpikan pingat Sukan Asia jika masih berada di Malaysia.

Tegasnya objektif utama mengapa beliau memilih Jepun sebagai lokasi untuk berlatih adalah kerana Jepun menawarkan persekitaran latihan yang mampu meningkatkan motivasi dan keseimbangan dinamik.


PELARI pecut kebangsaan, Khairul Hafiz, (dua dari kanan) bersama atlet olahraga yang lain menjalani latihan harian sambil diperhatikan Mohd Poad (kanan) di Sekolah Sukan Negeri (SSN), SMK Seri Kota di Jalan Ayer Leleh, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

"Saya bersama Ketua Pusat Sukan Kekuatan dan Daya Tahan, Bahagian Prestasi Sukan Institut Sukan Negara (ISN) Jad Adrian Washif sentiasa berhubung berkaitan program latihan atlet.

"Apabila Jad menyenaraikan kedudukan pelari Jepun yang sudah ramai mampu melakar catatan sekitar 10 saat, jadi saya rasa saya perlu ke sana untuk melihat sendiri latihan yang mereka lakukan," katanya.

Selain itu Jepun juga menawarkan latihan lebih sesuai dan saingan cukup baik buat atlet negara.

Poad mengimpikan untuk berlatih di Institut Sains Sukan Jepun (JISS) dan Pusat Latihan Kebangsaan di Tokyo biarpun hanya seminggu namun memerlukan kos perbelanjaan sekurang-kurangnya RM54,800.

Antara atlet yang dirancang untuk dibawa berlatih ke sana adalah Khairul Hafiz, Badrul Hisyam Manap, Haiqal Hanafi dan pemenang pingat emas kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia, Mohd Aiedel Saadon.INFO1. 9.98s Yoshihide Kiryu (JPN)2. 10.00s Ryota Yamagata (JPN)3. 10.03s Su Bingtian (CHN)4. 10.04s Xie Zhenye (CHN)5. 10.05s Abdul Hakim Sani Brown (JPN)6. 10.07s Kim Kok Young (KOR)7. 10.07s Shuhei Tada (JPN)8. 10.08s Shota Lizuka (JPN)9. 10.08s Aska Cambridge (JPN)21. 10.24s Khairul Hafiz Jantan (MAS)

512 dibaca
Berita Harian X