Isnin, 6 November 2017 | 6:52pm
SEMANGAT Elena Goh berjaya kini semakin membuak untuk mengulangi pencapaian Kejohanan Jalan Kaki Asia 20km di Jepun tiga tahun lalu. - Foto Yazit Razali

Elena intai Sukan Komanwel, Asia

KUALA LUMPUR: Tiada siapa boleh menghalang impian Elena Goh meneruskan kerjayanya selaku atlet jalan kaki negara.

Selepas emosinya sedikit tergugat apabila pingat emas yang diraihnya di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), Ogos lalu dipertikaikan kerana dikatakan melanggar peraturan temasya, Elena kini boleh menarik nafas lega apabila kebenaran akhirnya memihak kepadanya.

Justeru, Elena, 23, bersama jurulatih Teoh Boon Lim mula merangka perancangan yang lebih baik demi kerjayanya tahun depan.

Katanya, banyak yang perlu dilakukan sekiranya terpilih beraksi di dua kejohanan utama tahun depan, Sukan Komanwel dan Asia kerana kedua-dua temasya itu hanya mempertandingkan jarak 20 kilometer (km) dan bukannya 10km.

"Pada KL2017 yang lalu saya beraksi dalam acara 10km dan saya sudah lama tidak beraksi dalam acara 20km selepas menjalani pembedahan di kedua-dua belah lutut dua tahun lalu.

"Saya memang dalam perancangan untuk kembali berlatih semula untuk jarak 20km, tapi ia memerlukan sedikit masa," katanya.

Mengulas kejayaannya di KL2017, Elena berkata ia bukanlah pencapaian terbaik dalam kariernya kerana pernah berada di kedudukan keenam Asia ketika menyertai Kejohanan Jalan Kaki Asia 20km di Jepun tiga tahun lalu dengan catatan 1 jam 41 minit.

Semangat Elena kini semakin membuak mahu mengulangi pencapaian itu tetapi dia perlu bijak untuk menyusun jadual latihan dan pelajaran.

315 dibaca
Berita Harian X