Rabu, 8 November 2017 | 6:40am
JAWATANKUASA Olimpik Antarabangsa (IOC) menggantung Frankie Fredericks dari Namibia susulan tuduhan rasuah yang dikenakan ke atasnya oleh pihak berkuasa Perancis. - Foto AFP

IOC gantung Frankie Fredericks angkara rasuah

LAUSANNE: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menggantung ahli majlisnya yang juga bekas juara dunia acara pecut, Frankie Fredericks susulan tuduhan rasuah yang dikenakan ke atasnya oleh pihak berkuasa Perancis.

Suruhanjaya Etika IOC mencadangkan penggantungan buat pemenang empat pingat perak Olimpik dari Namibia itu kerana ia memberi kesan kepada reputasi terhadap badan induk berkenaan.

"Berdasarkan situasi semasa dan kesan terhadap IOC, suruhanjaya memutuskan untuk menggantung Frank Fredericks daripada semua hak dan tugasnya selaku ahli IOC."

Siasatan sedang dilakukan namun Fredericks menafikan pembabitannya berhubung dakwaan menerima bayaran STG262,000 (RM1.28 juta) daripada anak Papa Massata Diack, anak kepada bekas presiden Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), Lamine Diack pada 2 Oktober 2009.

Penyiasat Perancis melihat ada kemungkinan bayaran itu dibuat sebagai ganjaran pemilihan Rio de Janeiro selaku tuan rumah Sukan Olimpik dan Tokyo 2020.

Sebahagian besar siasatan turut membabitkan aktiviti Papa Massata Diack bersama bapanya yang kini berdepan tuduhan di Perancis berhubung bayaran jutaan dolar membabitkan tuduhan melindungi kegagalan ujian doping oleh atlet Russia.

Fredericks menegaskan bayaran pertama yang diterima seperti yang didedahkan oleh Le Monde pada Mac lalu adalah sebagai bayaran promosi yang dilakukannya antara 2007 dan 2011, seperti termaktub dalam kontrak yang ditandatangani pada 11 Mac 2007. - AFP

504 dibaca
Berita Harian X