Khamis, 9 November 2017 | 7:43pm
JURULATIH pecut negara, Mohd Poad Md Kassim (kanan) harap Khairul Hafiz Jantan diserap dalam Program Podium.

Poad harap Khairul diserap dalam Program Podium

KUALA LUMPUR: Barisan atlet dalam Program Podium akan diumumkan esok dan ia sedikit mendebarkan jurulatih pecut negara Mohd Poad Md Kassim yang berharap ada sinar baru buat atlet pecut negara.

Poad yang berjaya membawa Khairul Hafiz Jantan menamatkan penantian 14 tahun untuk bergelar raja pecut Asia Tenggara apabila meraih emas di Sukan SEA 2017 dalam acara 100 meter amat mengharapkan agar pelari pecut itu disenaraikan dalam program paling berprestij di negara ini.

Ia perlu demi masa depan Khairul Hafiz agar memudahkan segala perancangannya dalam mempersiapkan diri menghadapi temasya yang lebih besar antaranya Komanwel dan Sukan Asia.

Poad berkata adalah wajar andai Khairul yang juga pemegang dua rekod kebangsaan iaitu 100 dan 200m diserapkan ke dalam Program Podium agar segala latihan serta persiapan yang lebih jitu dapat disusun.

"Saya memang harap bukan saja Khairul malah kesemua pelari kuartet pecut kita dapat diserapkan ke dalam Program Podium.

"Banyak perancangan boleh diatur jika dia diserapkan ke dalam program itu," katanya. Antara yang bermain di fikiran Poad ketika ini adalah membawa barisan pelari pecut negara mendalami ilmu di Jepun.

Katanya, lebih separuh atlet dari negara Matahari Terbit itu kini menghuni kelompok 10 terbaik Asia dengan catatan yang mungkin sukar untuk dikejar Khairul Hafiz. Justeru mana mungkin Khairul mengimpikan pingat Sukan Asia jika tidak diberi pendedahan yang secukupnya.

Terdahulu Poad pernah menyuarakan hasrat untuk berlatih di Institut Sains Sukan Jepun (JISS) dan Pusat Latihan Kebangsaan di Tokyo biarpun hanya seminggu namun kekangan kewangan merencatkan perancangannya kerana memerlukan kos sekurang-kurangnya RM54,800.

244 dibaca
Berita Harian X