Jumaat, 10 November 2017 | 7:25pm
ATLET Malaysia, Khairul Hafiz Jantan (kanan) meraikan kejayaan bersama jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim selepas berjaya memperbaharui rekod baru kebangsaan dengan catatan masa 20.90 saat di Stadium Bukit Jalil. - Foto Luqman Hakim Zubir

Podium: Poad tak kecewa Khairul diketepikan

KUALA LUMPUR: Meraih emas di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) belum cukup meyakinkan jawatankuasa pemilihan menyenaraikan raja pecut Asia Tenggara Khairul Hafiz Jantan ke dalam Program Podium.

Bagi jurulatih pecut negara Mohd Poad Md Kassim, beliau sudah menduga perkara itu dan menganggap belum rezeki buat Khairul dan anak didiknya yang lain.

Katanya, tidak wujud rasa terkilan malah meniup semangatnya untuk membuktikan Khairul mampu mencatatkaan keputusan membanggakan di Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Jakarta-Palembang tahun depan.

"Mungkin belum rezeki mereka untuk disenaraikan ke dalam Program Podium. Saya pun tidaklah kecewa sangat.

"Saya akan terus mencuba dan membuktikan kami mampu untuk pergi lebih bagus selepas ini," katanya.

Pemenang dua rekod kebangsaan itu dikatakan tidak memenuhi kriteria untuk disenaraikan dalam Program Podium berdasarkan kedudukan ranking.

Catatan 10.18 saat yang juga rekod kebangsaan dalam acara 100 meter itu meletakkan Khairul di kedudukan kesembilan Asia dan ke-60 dalam senarai pelari Komanwel.

Manakala dalam acara 200m atlet kelahiran Melaka itu menghuni ranking ke-18 Asia dan ke-36 Komanwel.

Selain Khairul turut diketepikan daripada senarai baru Podium adalah kuartet 4x100m negara.

2538 dibaca
Berita Harian X