Sabtu, 11 November 2017 | 11:42pm
ATLET olahraga, Khairul Hafiz Jantan (tengah) pada sidang media bersama Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim (kiri) dan Jurulatih Olahraga, Poad Kassim di Pejabat UFL Taman KIP. - Foto Osman Adnan

KOM hormat keputusan Podium

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menghormati keputusan yang dibuat dalam pemilihan atlet olahraga ke dalam Program Podium seperti yang diumumkan semalam biarpun beberapa nama yang dikemukakan tidak tersenarai.

"Kami menghormati keputusan yang dibuat Program Podium. Untuk pengetahuan semua, KOM sudah pun menyenaraikan nama Khairul Hafiz Jantan berdasarkan merit yang dilakukannya apabila melakukan 10.18 saat (rekod kebangsaan) tahun ini tetapi malang sekali dia tidak tersenarai," katanya.

Karim berkata pihaknya menerima keputusan yang dilakukan Program Podium apabila kini menyenaraikan tiga atlet olahraga berbanding hanya seorang atlet - Nauraj Singh Randhawa di dalam program itu untuk tahun ini.

Pengarah Program Podium, Tim Newenham dalam sidang media semalam mengumumkan senarai 146 atlet ke dalam Program Podium dengan penambahan dua atlet olahraga ke dalam Podium iaitu atlet lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail serta atlet lempar cakera, Muhammad Irfan

Shamsuddin bermula Januari depan.

Berdasarkan senarai yang terpilih, Karim sebelum ini memaklumkan beliau mengemukakan nama raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz serta dua pemegang rekod Asia Tenggara, Jackie Wong Siew Cheer dan Grace Wong Xiu Mei masing-masing dalam acara baling tukul lelaki dan wanita.

Sebelum ini, Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata Khairul Hafiz tidak disenaraikan kerana masih belum memenuhi kriteria yang ditetapkan apa lagi catatan rekod kebangsaan 10.18 saat itu masih jauh di belakang berbanding pelari di peringkat Asia dan Komanwel.

Ranking terkini meletakkan catatan masa 100m yang dilakukan Khairul Hafiz di peringkat Asia adalah kedudukan kesembilan sementara masanya itu berada pada kedudukan ke-60 dalam kalangan pelari di negara Komanwel.

183 dibaca
Berita Harian X