Ahad, 12 November 2017 | 12:16pm
PENASIHAT Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Sukan SEA, Tan Sri Dr M Jegathesan mahu kawal masalah atlet mengambil bahan terlarang.

Buktikan mereka salah: Jegathesan

CYBERJAYA: "Bukan salah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas), ujar Penasihat Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Sukan SEA, Tan Sri Dr M Jegathesan selepas tiga kes doping membabitkan atlet negara yang beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 berjaya dikesan setakat ini.

Menurut bekas pelari pecut negara itu, perkara paling mustahak sekarang ini ialah bagaimana untuk mengawal masalah berkenaan dan untuk menghalangnya daripada tidak berlaku langsung adalah sangat mustahil.

"Saya tidak boleh membuat kenyataan untuk mengadili mereka kerana isu doping ini berkaitan dengan banyak perkara. Jika sesuatu kes itu berjaya ditemui ia menunjukkan sistem (Adamas) berjalan dengan baik. Kalau tidak berjaya atau sesuatu kes itu terlepas, menunjukkan ia tidak berjalan dengan baik," katanya ketika ditemui di Larian Manipal di Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) hari ini.

Jelasnya, perkara paling penting yang harus dilakukan oleh Adamas ialah memperkasakan lagi usaha mereka agar kes doping selepas ini berjaya dikurangkan.

"Adamas harus memperkasakan program mereka agar dapat mendidik atlet. Ajar mereka (atlet) apa yang sepatutnya perlu dilakukan dan tidak perlu dilakukan. Jadi kes doping ini akan berjaya dikurangkan. Mereka yang gagal dalam ujian ini adalah disebabkan tiga perkara.

"Pertama ialah atlet yang tidak peka dan kurang melakukan pemeriksaan. Kedua ialah atlet yang menjadi mangsa di atas arahan pihak tertentu untuk mengambil bahan terlarang dan ketiga ialah 'keras kepala' di mana seseorang atlet itu tahu apa yang dia lakukan," katanya.

Ujarnya, perkara paling penting ialah pembelajaran dari sudut bahan terlarang yang harus diambil berat oleh seseorang atlet.

"Tahun depan kita ada beberapa temasya besar seperti Sukan Komanwel dan Asia, jadi perlu ada program yang mantap untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada atlet. Selain itu jurulatih dan sebagainya juga harus mendapat latihan yang betul mengenai bahan terlarang.

"Adamas juga harus terus membuat ujian saringan secara rawak dan memberi ruang serta saluran kepada masyarakat untuk menyampaikan maklumat jika tahu mengenai wujudnya penggunaan bahan terlarang di kalangan atlet.

"Adamas juga mampu untuk melihat program dari seluruh dunia dari sudut undang-undang anti doping dan sebagainya. Sesuatu harus dilakukan dengan segera untuk kebaikan negara kita," kata Jegathesan.

476 dibaca
Berita Harian X