Isnin, 4 Disember 2017 | 11:35pm
ATLET pecut negara, Shereen Samson Vellabouy tekad memperbaiki catatan terbaik peribadi acara 400 meter tahun depan, sama ada di Sukan Asia Indonesia atau di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Shereen lupakan episod duka 2017

KUALA LUMPUR: Tidak dapat beraksi di hadapan penyokong sendiri ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bukan bermakna gagal buat selama-lamanya bagi Shereen Samson Vellabouy.

Shereen yang mengalami kecederaan hamstring ketika berlatih di trek Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil Julai lalu sebaliknya menjadikan 'kekecewaan' itu sebagai pencetus semangat.

Atlet berusia 19 tahun itu menegaskan dia bertekad memperbaiki catatan terbaik peribadi acara 400 meter tahun depan, sama ada di Sukan Asia Indonesia atau di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak.

"Secara keseluruhan untuk 2017 saya sudah dapat menerima hakikat, kekecewaan apabila tidak dapat beraksi dalam acara 400m di KL2017.

"Jadi sekarang saya sudah memulakan kembali latihan seperti biasa untuk persiapan Sukan Asia (Ogos) dan SUKMA (September) tahun depan.

"Saya berusaha kuat untuk dua temasya ini kerana saya rasa tidak sempat untuk mendapatkan catatan masa kelayakan beraksi di Sukan Komanwel Gold Coast (April)," kata Shereen.

Mengulas lanjut, Shereen berkata, seandainya dia dapat membawa cabaran negara di Sukan Asia nanti, ia akan menjadi penampilan sulungnyanya.

Justeru Shereen bertekad mahu melakukan yang terbaik dengan sekurang-kurangnya mara ke peringkat akhir.

Pada KL2017, Shereen hanya berada dalam kuartet 4x400m bersama Fatin Faqihah Mohd Yusof, Nurul Faizah Asma Mazlan dan Tanalaksiumy Maher Rayan dengan catatan 3:43.31s.

175 dibaca
Berita Harian X