Selasa, 5 Disember 2017 | 12:25am
KOMALAM Shally Selvaretnam pada sesi latihan di padang MSN Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

MSN-KOM akan tentukan nasib Komalam

KUALA LUMPUR: Impian S Komalam Shally untuk kembali bersama kem olahraga kebangsaan masih menjadi tanda tanya dan nasibnya dijangka hanya akan diketahui selepas perbincangan antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Perkara itu dimaklumkan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim ketika diminta mengulas mengenai status Komalam yang digugurkan daripada skuad negara sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) membuka tirai pada Ogos lalu.

"Masih menunggu Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) MSN dan KOM untuk keputusan lanjut," kata Karim secara ringkas ketika ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Karim turut memaklumkan kriteria dan penilaian untuk Komalam kembali juga hanya akan ditentukan MSN dalam mesyuarat yang dijadualkan tidak lama lagi.

Sebelum ini, atlet berusia 29 tahun itu menyuarakan harapan agar dia dapat diberi peluang kedua oleh KOM untuk memulihkan kembali kariernya selepas digugurkan gara-gara masalah disiplin sebelum KL2017, Ogos lalu.

Komalam yang dinobatkan selaku Olahragawati Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2016 minggu lalu memaklumkan ketika ini, dia masih bekerja keras dan terus menjalani latihan agar tahap kecergasan dapat dikekalkan seperti biasa.

Kontroversi mula menghimpit Komalam menjelang 10 hari sebelum bermulanya Sukan SEA apabila namanya digugurkan secara mengejut daripada skuad olahraga kebangsaan.

Walaupun mengemukakan rayuan sehari selepas digugurkan, tetapi KOM tetap kekal dengan keputusan untuk mengenepikan Komalam daripada mengambil bahagian dalam temasya dwi tahunan yang berlangsung di laman sendiri.

Difahamkan, keputusan menggugurkan Komalam dibuat kerana atlet berkenaan didakwa tidak menghormati jurulatih.

Dan, ketiadaannya nyata merencatkan rentak larian kuartet 4x100m wanita negara pada Sukan SEA 2017, apabila sekadar menamakan saingan di kedudukan terakhir.

Acara berkenaan diungguli Vietnam yang meraih emas diikuti Thailand dan Filipina.

Tanpa Komalam, barisan kejurulatihan negara menggandingkan Zaidatul Husniah Zulkifli, Siti Fatima Mohamad, Azreen Nabila Alias dan Fatin Faqihah Mohd Yusof dalam acara berkenaan.

319 dibaca
Berita Harian X