Khamis, 7 Disember 2017 | 11:11pm
SITI Fatima Mohamad pada sesi latihan di padang MSN Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

Siti Fatima pilih Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga negara, Siti Fatima Mohamad mengakui dirinya lebih cenderung melakukan persiapan ke Sukan Asia, Indonesia pada Ogos berbanding Sukan Komanwel, Australia.

Ini kerana dia tidak mahu bersikap terburu-buru membuat persiapan ke Sukan Komanwel dengan tempoh hanya tinggal beberapa bulan saja lagi, sambil mendakwa belum ada persediaan untuk atlet ke temasya berkenaan.

"Jika semua berjalan lancar tahun depan, saya mahu beraksi dalam kedua-dua temasya, namun kami masih belum menerima apa-apa berita mengenainya.

"Kalau hendak beraksi di Sukan Komanwel dalam peringkat umur saya, apa yang mahu dilihat hanyalah prestasi bukannya mencari pengalaman.

"Jadi saya rasakan lebih baik saya tak sertai Komanwel, sebaliknya fokus Sukan Asia. Untuk lakukan persediaan masa ini seolah-olah tidak kena kerana masanya terlalu dekat," kata Siti Fatima ketika ditemui sewaktu menjalani latihan di Bukit Jalil.

Temasya Sukan Komanwel di Australia dijadual bermula pada April sementara Sukan Asia di Indonesia bakal diadakan menjelang Ogos hingga September 2018.

Dalam perkembangan lain, Siti Fatima menegaskan dia belum lagi berhasrat untuk 'angkat kaki' daripada acara olahraga negara meskipun usianya kini sudah mencecah 32 tahun sambil memberi bayangan mampu bersaing sekurang-kurangnya dua lagi temasya Sukan Asia.

Mengulas mengenai rakan seperjuangan, S Komalam Shally, Siti Fatima menjelaskan dia dan pelari itu sudah mula melupakan 'detik hitam' yang berlaku sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos lalu.

Siti Fatima bagaimanapun berharap peluang kedua dapat diberikan kepada Komalam kerana jika melihat dari sudut prestasi, atlet itu masih berada di tahap terbaik.

Komalam dihimpit kontroversi 10 hari sebelum KL2017 membuka tirainya Ogos lalu apabila namanya digugurkan daripada skuad olahraga dan didakwa terbabit masalah disiplin.

227 dibaca
Berita Harian X