Ahad, 24 Disember 2017 | 6:23pm
PELARI pecut negara, Khairul Hafiz Jantan (dua dari kanan) bersedia menyahut cabaran KOM untuk menepati had kelayakan ke Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan 2018 di Birmingham, England, Mac ini. - Foto Yazit Razali

Khairul Hafiz sedia sahut cabaran

KUALA LUMPUR: Tidak pernah beraksi acara 60 meter (m) dalam dewan bukan alasan untuk Khairul Hafiz Jantan patah semangat.

Sebaliknya, The Speedy Jantan sudah bersedia menyahut cabaran Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menepati had kelayakan ke Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan 2018 di Birmingham, England pada 1 hingga 4 Mac ini.

Berdasarkan syarat ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), seseorang atlet itu perlu mencatat 6.63 saat untuk layak secara automatik ke Birmingham.

Khairul Hafiz mempunyai peluang berbuat demikian di Kejohanan Olahraga Asia Dalam Dewan 2018, Teheran, Iran yang akan diadakan pada 1 hingga 3 Februari.

Sebelum ini, KOM menyenaraikan jaguh lompat kijang Asia Tenggara, Muhammad Hakimi Ismail bagi mewakili negara.

Tindakan itu diambil selepas tiada pengesahan daripada jurulatih, Mohd Poad Md Kassim sama ada mahu menghantar Khairul Hafiz yang menjadi pilihan pertama KOM, untuk bertanding di Birmingham, sehingga tarikh tutup pendaftaran awal bulan lalu.

"Saya akan cuba buat yang terbaik. Dapatkan catatan yang diperlukan itu untuk layak. Saya sudah bersedia," kata Khairul Hafiz yang juga kini memegang rekod 100m dan 200m kebangsaan.

Untuk rekod, baru-baru ini Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim menegaskan peluang masih terbuka buat pemenang pingat emas acara 100m lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu beraksi di England.

Raja pecut Asia Tenggara itu mempunyai masa berbuat sedemikian sebelum tiket kelayakan secara automatik Kejohanan Dunia ditutup pada 19 Februari ini.

Jika atlet berusia 19 tahun itu gagal, bermakna Hakimi akan mewakili Malaysia kerana jika dia menarik diri atau diganti dengan acara lain, KOM boleh didenda RM5,000.

814 dibaca
Berita Harian X