Rabu, 27 Disember 2017 | 5:15pm
PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim akui peluang Khairul Hafiz Jantan wakili negara ke Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan 2018 di Birmingham, England pada 1 hingga 4 Mac ini masih terbuka. - Foto Owee Ah Chun

Masih ada peluang buat Khairul Hafiz

KUALA LUMPUR: Peluang masih terbuka buat Khairul Hafiz Jantan untuk menempatkan diri sebagai wakil negara ke Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan 2018 di Birmingham, England pada 1 hingga 4 Mac ini.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berkata raja pecut Asia Tenggara itu masih mempunyai masa sehingga Februari ini sebelum tiket kelayakan secara automatik menyertai kejohanan dunia berkenaan ditutup.

"Saya sudah maklumkan kepada jurulatih Khairul Hafiz (Mohd Poad Md Kassim) kerana dia adalah pilihan pertama ke Birmingham, namun tiada jawapan diberikan (sehingga tarikh tutup pendaftaran). Jadi kita mencalonkan nama Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang).

"Tetapi tempat masih lagi terbuka kerana tidak ada atlet yang layak (merit), namun Khairul Hafiz masih ada masa sekiranya dia mengambil bahagian di Kejohanan Olahraga Asia Dalam Dewan 2018 di Tehran, Iran (1 hingga 3 Februari 2018)," kata Karim ketika ditemui selepas taklimat Program Penyediaan Atlet ke Arah Temasya Sukan SEA 2019, hari ini.

Karim dalam masa sama menegaskan Khairul Hafiz atau diberi julukan The Speedy Jantan perlu memastikan dirinya menepati had kelayakan ditetapkan. Sekiranya gagal, ia bermakna Hakimi akan meneruskan saingan Malaysia kerana jika berlaku penarikan diri atau menggantikan acara lain, maka denda sebanyak RM5,000 terpaksa ditanggung.

Menurut standard kemasukan ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), pelari acara 60 meter (m) lelaki perlu mencatatkan masa 6.63s untuk menyertai kejohanan berkenaan.

Baru-baru ini media melaporkan Khairul Hafiz bingung dengan keputusan KOM 'menggugurkannya' daripada beraksi di Birmingham sambil mengakui, tidak mengetahui apa yang terjadi namun pada masa sama menaruh harapan bersaing dalam kejohanan itu. KOM sebelum ini mengesahkan Hakimi akan mewakili negara ke Birmingham melalui tiket wildcard, namun ia akan terbatal sekiranya ada atlet negara layak secara merit ke kejohanan sebelum tarikh tutup pada 19 Februari 2018.

Dalam perkembangan lain, Karim ketika ditemui di Majlis Sukan Negara menggesa agar layanan sama rata diberikan kepada atlet yang tidak berada di dalam Program Podium oleh doktor perubatan apatah lagi ketika mereka bergelut dengan kecederaan.

"Ada atlet yang mengadu kerana merasakan mereka adalah 'anak tiri', apabila berlaku kecederaan doktor akan memberikan keutamaan kepada atlet podium, ini akan membuatkan atlet kecewa. Pertimbangan perlu dilakukan kerana mereka juga berjuang untuk negara, tapi ini bukan bermakna saya mempertikaikan atau mempersoalkan mana-mana pihak, ia adalah cadangan untuk kebaikan semua atlet," kata Karim.

221 dibaca
Berita Harian X