Khamis, 4 Januari 2018 | 8:04pm
Jurulatih Pecut Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar Johor, Mohd Poad Md. Kassim masih dirawat. - Foto fail

Anak buah Poad kekal di Bandar Penawar

KUALA LUMPUR: Semua pelari bimbingan Poad Kassim akan kekal di Bandar Penawar dan terus mengikuti segala perancangan programnya sepanjang tempoh ketiadaan jurulatih itu yang kini sedang menjalani rawatan pemulihan di Hospital Sultanah Aminah.

Pengetua Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Suhaimi Sun Abdullah, berkata mereka tidak mempunyai perancangan menghantar pelari pecut seperti Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Manap ke Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil biarpun tanpa Poad.

Poad masih mendapatkan rawatan akibat jangkitan kuman di paru-paru selepas dimasukkan ke hospital pada 24 Disember lalu dan belum pasti bila beliau akan kembali membimbing pelarinya.

Buat masa ini, semua pelari pecut meneruskan latihan di bawah pemantuan pembantu Poad, Mas Murni Abdullah.

"Poad menunjukkan perkembangan positif dan kini beliau sudah dipindahkan ke wad biasa daripada Unit Rawatan Rapi (ICU)," kata Suhaimi sebentar tadi.

"Bagaimanapun, kami tidak tahu bila beliau akan dibenarkan keluar dari hospital kerana beliau masih dirawat.

"Poad sudah merancang program latihan untuk atlet-atletnya sebelum jatuh sakit dan buat masa ini mereka hanya mengikut program latihan berkenaan.

"Jadi tidak perlu untuk mereka ke Bukit Jalil atau ke mana-mana saja kerana mereka boleh menjalani latihan di sini tanpa gangguan."

Situasi Poad dan program untuk pelari di bawah kendaliannya dijangka akan dibincangkan pada Jumaat ini apabila presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk Karim Ibrahim akan duduk berbincang dengan semua jurulatih bagi merancang program 2018.

296 dibaca
Berita Harian X