Jumaat, 5 Januari 2018 | 9:15pm
KHAIRUL Hafiz Jantan (tengah) antara atlet dicadang sertai Sukan Komanwel Gold Coast, Australia. - Foto fail

'Mereka layak secara merit ke Gold Coast'

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berharap skuad lelaki pecut kebangsaan dapat dipertimbangkan untuk dihantar bertanding di Sukan Komanwel Gold Coast, Australia.

Jawatankuasa pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mengadakan mesyuarat Isnin dan Selasa ini untuk memuktamadkan kontinjen negara bagi temasya bermula dari 4 hingga 15 April itu dengan KOM mencadangkan 14 nama secara keseluruhan.

Mereka termasuk pelari pecut Khairul Hafiz Jantan, Nixson Kennedy, Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Manap dan Haiqal Hanafi.

"Terpulang kepada MOM menentukan siapa yang akan dipilih tetapi semua atlet yang kita cadangkan layak secara merit kecuali pasukan lari berganti-ganti," kata Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat program menghadapi Sukan SEA 2019 di sini, hari ini.

"Mereka layak berdasarkan tempat keenam pada Sukan Komanwel sebelum ini."

Atlet Program Podium, Nauraj Singh Randhawa, Irfan Shamshuddin dan Hakimi Ismail sudah hampir pasti dipilih ke Gold Coast.

KOM juga berharap dapat menghantar atlet lari berpagar Rayzam Shah Wan Sofian, Lee Hup Wei (atlet lompat tinggi), Iskandar Alwi (lompat bergalah), Jackie Wong (baling tukar besi), Zaidatul Husniah Zulkifli (pecut wanita) dan pemegang rekod kebangsaan acara heptathlon, Norliyana Kamaruddin.

Pasukan 4x100m lelaki kebangsaan mencipta rekod kebangsaan baharu 39.27 saat pada Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos lalu, namun hanya menduduki tempat keempat.

Namun, mereka melakukannya tanpa Khairul kerana diketepikan akibat kecederaan hamstring selepas menang emas acara 100m.

1194 dibaca
Berita Harian X