Rabu, 10 Januari 2018 | 9:33pm
BEKAS jurulatih 400 meter negara, Hamberi Mahat akui beliau kini perlu memberi tumpuan terhadap majikannya Maybank. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Hamberi masih sayang olahraga

KUALA LUMPUR: Biarpun perlu menerima hakikat kontraknya tidak disambung tahun ini, namun jurulatih berpengalaman negara Hamberi Mahat masih sayangkan dunia olahraga.

Begitupun bekas jurulatih itu mengakui beliau kini perlu memberi tumpuan terhadap majikannya Maybank.

"Buat masa ini saya cuma memberikan perhatian dengan tugas sebagai pegawai sukan di Menara Maybank.

"Jika mereka berhajat untuk sambung kembali kontrak saya, saya sedia menabur bakti tapi perlu bergantung kepada pengurusan Maybank sama ada melepaskan saya atau sebaliknya," kata Hamberi.

Kontrak Hamberi tidak disambung semula berkuat kuasa 31 Disember lalu.

Hamberi bersama skuad negara sejak mengendalikan pelapis kebangsaan dari 2007 hingga 2012.

Beliau antara jurulatih yang turut terbabit dalam membentuk atlet Program Kita Juara 2017.

Selain Hamberi, khidmat Samuel Kipsang Rono dari Kenya selaku jurulatih acara jarak jauh juga tidak disambung apabila berakhir 31 Disember lalu.

Sebelum ini media melaporkan ketiadaan Hamberi sedikit sebanyak memberikan kesan buat atlet kebangsaan.

Perkara itu diakui atlet 400 meter negara, Azam Masri yang menjelaskan dia sudah serasi dengan jurulatih itu dan beranggapan tidak sesuai apabila sering kali bertukar jurulatih.

651 dibaca
Berita Harian X