Ahad, 11 Februari 2018 | 11:21pm
ATLET pecut 100m wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli rakam kepantasan 11.82 saat (s) sekali gus membolehkannya melakar pencapaian terbaik musim ini. - Foto Ihsan Jurulatih

Husniah, Hup Wei raih emas di Indonesia

KUALA LUMPUR: Atlet negara tampil dengan prestasi memberangsangkan apabila menamatkan hari pertama Kejohanan Olahraga Jemputan Sukan Asia ke-18, Jakarta, Indonesia dengan kutipan dua pingat emas dan satu gangsa, hari ini.

Emas dikutip menerusi acara pecut 100 meter wanita serta lompat tinggi lelaki dan gangsa menerusi acara 110m berpagar lelaki.

Emas dalam acara pecut 100m wanita diraih Olimpian, Zaidatul Husniah Zulkifli yang merakam kepantasan 11.82 saat (s) sekali gus membolehkannya melakar pencapaian terbaik musim ini.

Perak menjadi milik Lam On Ki dari Hong Kong dengan catatan 11.96s sementara gangsa dibawa pulang Yuliana Yuliana yang mewakili Indonesia (12.06s).

Mengulas mengenai pencapaian berkenaan, jurulatih negara, M Balamurugan berkata, pencapaian itu satu permulaan baik untuk Husniah, apatah lagi ia adalah persiapan menjelang Sukan Komanwel.

"Dia mencatatkan 11.82s. Saya gembira dengan pencapaian ini kerana dia menyertai kejohanan ini sebagai pendedahan, malah masih dalam program latihan.

"Kejohanan ini dapat mengujinya kerana ketika latihan dia juga ada kelas, jadi banyak latihan membuatkannya letih. Apa pun ia permulaan yang baik untuk terus fokus layak ke Sukan Komanwel," kata Balamurugan, ketika dihubungi, hari ini.


ATLET lompat tinggi negara, Lee Hup Wei (dua dari kiri) juga membuktikan kehebatannya apabila meraih pingat emas dengan lompatan 2.19m. - Foto Ihsan Jurulatih

Atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei juga membuktikan kehebatannya apabila meraih pingat emas dengan lompatan 2.19m.

Perak milik Hsiang Chun-Hsien (Taiwan) dengan catatan 2.10m manakala gangsa milik atlet Indonesia, Rizky Ghusyafa Pratama (2.10m).


ATLET 110m negara, Rayzam Shah Wan Sofian meraih gangsa selepas mencatatkan kepantasan 14.01a, sekali gus melakar pencapaian terbaik musim ini. . - Foto Ihsan Jurulatih

Sementara itu, atlet 110m negara, Rayzam Shah Wan Sofian meraih gangsa selepas mencatatkan kepantasan 14.01a, sekali gus melakar pencapaian terbaik musim ini.

Emas milik Chung Wang Chan (Hong Kong) dengan kepantasan 13.93s sementara perak dimenangi Wei Ting Yang (Taiwan) dengan masa 13.99s.

Untuk rekod, seramai 16 atlet negara menggalas cabaran negara pada kejohanan berkenaan yang bermula hari ini hingga Rabu.

506 dibaca
Berita Harian X