Sabtu, 17 Februari 2018 | 11:36pm
RAJA Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan dikhabarkan sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring kaki kiri. - Foto Yazit Razali

Khairul Hafiz sedia mula aksi sulung

KUALA LUMPUR: Arena olahraga negara akan kembali hangat apabila Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan dikhabarkan sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring kaki kiri.

Jurulatih olahraga negara, Mohd Poad Md Kassim ketika memaklumkan perkara itu berkata, anak buahnya itu dijadual memulakan aksi sulung dalam acara pecut 100m lelaki, bulan depan.

"Selepas tamat Kejohanan Olahraga Jemputan Sukan Asia ke-18, Jakarta, Indonesia, saya sempat bertanya mengenai keadaan Khairul Hafiz. Alhamdulillah, dia memaklumkan kakinya sudah OK, jadi selepas ini dia akan kembali beraksi dalam acara pecut 100m.

"Jika tidak ada rintangan, dia akan menyertai Terbuka Perak yang dijadual pada 17 hingga 18 Mac sebelum ke Sukan Komanwel," kata Mohd Poad ketika mengulas mengenai perkembangan Khairul Hafiz.

Mengulas lanjut, Mohd Poad menjelaskan, pada musim ini tumpuan Khairul Hafiz lebih terarah kepada Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, Indonesia pada 18 Ogos hingga 2 September ini.

Begitupun, jurulatih itu juga tidak mahu memandang ringan temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia pada 4 hingga 15 April nanti.

"Sasaran utama untuk Khairul Hafiz adalah Sukan Asia dan saya harap dia mampu mara ke final, manakala di Sukan Komanwel pula sasarannya adalah melangkah ke pusingan kedua," kata Mohd Poad.

Atlet berusia 20 tahun itu bergelut dengan hamstring ketika menjalani latihan dan ia adalah kesan daripada kecederaan yang merebak gara-gara terjatuh ketika menamatkan aksi 100 meter (m) di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Khairul Hafiz diangkat selaku Raja Pecut Asia Tenggara selepas memenangi pingat emas acara 100m di KL2017 dengan catatan 10.38s. Dia juga adalah pemegang rekod kebangsaan acara 100m dan 200m ketika ini, masing-masing dengan kepantasan 10.18s dan 20.90s.

937 dibaca
Berita Harian X