Isnin, 26 Februari 2018 | 5:58pm
ZAIDATUL Husniah Zulkifli diketepikan daripada senarai kontinjen olahraga negara ke Sukan Komanwel Gold Coast, bulan depan. - Foto Osman Adnan

Impian Zaidatul Husniah lebur

KUALA LUMPUR: Impian pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli untuk beraksi di temasya Sukan Komanwel Gold Coast, bulan depan tidak kesampaian apabila pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur dalam acara 100 meter itu diketepikan daripada senarai kontinjen olahraga negara.

Perkara itu disahkan ketua jurulatih, Zainal Abas selepas 12 nama yang dihantar kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) diluluskan.

Berdasarkan prestasi terkini, tempat Husniah yang sebelum ini dikatakan bakal ke Gold Coast akan digantikan atlet lompat tinggi, Lee Hup Wei.

Zainal berkata, seramai 12 atlet akan mengibar cabaran dengan 11 daripadanya adalah lelaki dan seorang wanita.

Chua Yu Tian, pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur dalam acara lompat bergalah menjadi wakil tunggal negara dalam kategori wanita dengan tiga atlet podium terdiri daripada Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi) dan Hakimi Ismail (lompat kijang) bakal mengetuai saingan.

Menurut Zainal, pemilihan Yu Tian bersama seorang lagi atlet lompat bergalah, Iskandar Alwi ke temasya berkenaan bertujuan memberi pendedahan dalam acara itu.

"Senarai atlet sudah diluluskan. Husniah akan diketepikan dan diletakkan sebagai simpanan sekiranya apa-apa berlaku kepada atlet lain.

"Selain itu Khairul Hafiz (Jantan) turut disenaraikan ke temasya berkenaan bersama-sama tiga lagi pelari pecut iaitu Badrul Hisyam (Abdul Manap), Jonathan Nyepa dan Nixson Kennedy," katanya.

Atlet lain yang akan mengibar cabaran adalah pemenang pingat emas dan pemegang rekod kebangsaan dalam acara baling tukul besi, Jackie Wong dan Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar).

5419 dibaca
Berita Harian X