Jumaat, 2 March 2018 | 10:14pm
ZAIDATUL (kiri) sudah mencatatkan larian 11.82s.

Zaidatul lebih layak ke Gold Coast: Nazmizan

KUALA LUMPUR: Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli wajar diberikan peluang untuk beraksi di Sukan Komanwel, Australia, bulan depan.

Pandangan itu disuarakan bekas jaguh pecut, Nazmizan Muhammad dengan Olimpian itu dilihat berada pada tahap bersedia untuk membawa saingan di Gold Coast apabila berjaya menampilkan larian 100 meter (m) di bawah 12 saat (s), musim ini.

Justeru, ia lebih baik berbanding atlet lompat bergalah wanita, Chuah Yu Tian yang memenangi pingat perak acara berkenaan di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada Ogos tahun lalu dengan ketinggian 3.80m.

Hanya 12 daripada 13 atlet disenaraikan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) ke Komanwel diluluskan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyaksikan Husniah ketika ini berada dalam senarai simpanan.

"Pada saya lebih baik jika Husniah dihantar ke Komanwel kerana pada awal bulan di Pra Sukan Asia, Indonesia dia sudah mencatatkan larian 11.82s.

"Bermakna dia sudah bersedia untuk ke Komanwel, malah masih ada tempoh masa untuknya... kecuali catatan masa lariannya melebihi 12s.

"Kalau hendak gugurkan, lebih baik acara lompat bergalah kerana kalau dilihat, pencabar semuanya akan melompat dengan ketinggian 4m ke atas. 

"Kita kena realistik dan perlu melihat jenis temasya, bukan bermakna tidak mahu memberikan mereka peluang," kata Nazmizan yang pernah bergelar raja pecut Asia Tenggara.

Terdahulu, MOM menegaskan KOM perlu menunggu keputusan muktamad Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM pada Selasa depan berhubung permohonan menambah senarai atlet ke Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia.

KOM sebelum ini mengesahkan seramai 12 atlet akan beraksi di Gold Coast, namun mereka mengemukakan rayuan kepada MOM untuk menambah seorang lagi menjadikan 13 secara keseluruhannya.

INFO:

Keputusan Sukan Komanwel, Glasgow 2014

100m wanita:

Emas: Blessing Okagbare (Nigeria), 10.85s

Perak: Veronica Campbell-Brown (Jamaica), 11.03s

Gangsa: Kerron Steward (Jamaica), 11.07s

 

Lompat bergalah wanita:

Emas: Alana Boyd (Australia), 4.50m

Perak: Sally Peake (Wales), 4.25m

Gangsa: Alsha Newman (Kanada) / Sally Scott (England), 3.80m.

 

 

898 dibaca
Berita Harian X