Sabtu, 3 March 2018 | 5:46pm
ATLET lompat bergalah wanita negara, Chuah Yu Tian.

Yu Tian positif beri aksi terbaik

KUALA LUMPUR: Ramai yang mempersoalkan tindakan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memilih atlet lompat bergalah wanita negara, Chuah Yu Tian ke temasya Komanwel Gold Coast ketika pelari pecut Zaidatul Husniah Zulkifli lebih layak mengisi tempat ke temasya itu. 

Begitupun Yu Tian menganggapkan ia sebagai satu cabaran dan bertekad untuk membuktikan sememangnya dia layak mengisi tempat berkenaan. 

Meraih pingat perak di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur lalu dengan ketinggian 3.80 meter (m), temasya Komanwel adalah kejohanan pertama dan terbesar bagi atlet kelahiran Taiping, Perak itu. 

Di atas kertas Yu Tian dilihat tidak berpeluang untuk menghadiahkan pingat malah kemampuannya jauh daripada atlet Komanwel yang lain. 

Tetapi KOM menerusi ketua jurulatih Zainal Abas berkata ia sebagai pendedahan kepada atlet berusia 25 tahun itu dalam usaha untuk meningkatkan semangatnya mengikuti jejak langkah bekas atlet negara dalam acara itu, Roslinda Samsu. 

"Saya gembira dapat peluang ke Komanwel dan ini adalah peluang keemasan kepada saya. Tiada semua orang mendapat peluang ini. 

"Apa yang pasti saya akan cuba yang terbaik dan akan cuba melakukan lompatan 4m sekali gus melepasi syarat kelayakan ke Sukan Asia pula," katanya. 

Kata Yu Tian, dia sedar akan kemampuannya namun sekurang-kurangnya kehadirannya di Gold Coast itu mampu membawa keputusan yang boleh dibanggakan untuk diri sendiri dan masa depan. 

"Saya memang mengimpikan bersaing dengan atlet bertaraf dunia. Komanwel nanti membuka peluang kepada saya yang sebelum ini hanya menyaksikan mereka beraksi di YouTube saja," katanya. 

Kali terakhir atlet negara beraksi dalam acara itu adalah di Komanwel Melbourne pada 2006 menerusi Roslinda yang menyaksikan bekas atlet yang kini berkhidmat sebagai guru di Sekolah Sukan Gambang Pahang menamatkan saingan di kedudukan keempat selepas melepasi ketinggian 4.20m. 

Rekod kebangsaan 4.4m dalam acara itu juga dipegang Roslinda yang dilakukan di Sepanyol pada tahun yang sama.

KOM menyenaraikan 12 atlet ke Komanwel membabitkan 11 atlet lelaki dengan Yu Tian menjadi atlet tunggal wanita.

Selain Yu Tian, Iskandar Alwi turut tersenarai dalam acara lompat bergalah lelaki.

481 dibaca
Berita Harian X