Rabu, 11 April 2018 | 7:25pm
Nauraj Singh Randhawa (kanan) dan Lee Hup Wei tersingkir awal pada final acara lompat tinggi di Stadium Carrara, hari ini. - Foto Yazit Razali

Nauraj, Hup Wei tak menjadi

GOLD COAST: Harapan yang diletakkan di bahu Nauraj Singh dan Lee Hup Wei untuk mencetus impak di Sukan Komanwel 2018 lebur begitu saja apabila masing-masing tersingkir awal pada final acara lompat tinggi di Stadium Carrara hari ini. 

Nauraj lebih dahulu tersingkir selepas gagal melepasi ketinggian 2.21m selepas  ketiga-tiga percubaan disusuli Hup Wei yang turut gagal melepasi ketinggian 2.24m, juga selepas ketiga-tiga percubaan.  

Ia penamat yang mengecewakan buat kedua-duanya yang gagal menyamai catatan terbaik masing-masing iaitu 2.28m (Hup Wei) dan 2.30m (Nauraj).   

Apatah lagi selepas insiden dua hari lalu yang membabitkan penyertaan Nauraj yang diketepikan dari final biarpun melepasi paras 2.21m pada aksi kelayakan berikutan kiraan sistem kiraan semula.  

"Saya tidak gembira dengan keputusan ini, saya harap dapat lakukan yang lebih baik daripada ini," kata Nauraj yang juga atlet Program Podium.   

"Semuanya baik, sama ada teknik atau larian tetapi lompatan pula tidak menjadi. Kadang kala perkara seperti ini berlaku dan ia amat mengecewakan."   

Bagi Hup Wei ia sesuatu yang mengecewakannya tetapi menerima apa yang berlaku.   

"Ia memang mengecewakan tetapi kalah tetap kalah," kata Hup Wei.

836 dibaca
Berita Harian X