Khamis, 12 April 2018 | 2:46pm
STARC dipeluk Stewart selepas memenangi emas acara lompat tinggi. FOTO/AFP

Jurulatih Nauraj cipta kontroversi

GOLD COAST: Jurulatih Nauraj Singh Randhawa, Alex Stewart, yang memakai pakaian rasmi kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel mencipta kontroversi, hari ini apabila memeluk pemenang pingat emas acara lompat tinggi, Brandon Starc serta menyerahkan bendera Australia kepada atlet berkenaan di Stadium Carrara.

Bagaimanapun, ketua kontinjen negara, Huang Ying How dan Pengarah Podium, Tim Newenham berkata ia tidak menjadi isu kerana Stewart bukannya jurulatih sepenuh masa bagi Nauraj.

Seorang lagi atlet negara, Lee Hup Wei juga berlatih di bawah kendalian jurulatih kelahiran Australia itu tetapi dia membayar menggunakan wangnya sendiri.

"Kami membayar Stewart berdasarkan jumlah sesi bersama Nauraj. Jurulatih Australia itu turut melatih Starc dan atlet lompat tinggi Australia yang lain. Normal untuk jurulatih untuk meraikan kejayaan dengan atlet mereka apabila mereka meraih kejayaan," kata Ying How.

"Kami tidak boleh menyalahkan Stewart kerana Starc memenangi pingat emas.

"Setahu saya, Stewart melakukan tugasnya dalam menyiapkan atlet lompat tinggi kita dan dia juga menyokong mereka sepanjang pertandingan."

Newenham juga berkata, bukannya sesuatu yang luar biasa untuk jurulatih melatih atlet dari negara yang berbeza.

"Ada tiga pelatih Stewart di final semalam. Ia bukannya isu yang besar. Kami sedar mengenainya apabila kami memberikannya akreditasi.

"Semua orang perlu mengingati yang Nauraj melepasi 2.30 meter (catatan terbaik) di bawah Stewart. Kami membayarnya berdasarkan sesi dan saya fikir ia adalah model yang baik untuk meletakkan atlet di bawah program sedia ada.

"Kami turut menawarkan Stewart untuk datang ke Malaysia tetapi dia tidak mempunyai masa ketika ini," kata Newenham.

Ying How turut mengulas mengapa jurulatih pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah iaitu M Balamurugan tidak diberikan akreditasi di temasya berkenaan.

Zaidatul tampil dengan prestasi baik dalam acara 100 meter pecut wanita untuk layak ke separuh akhir selepas melakukan catatan 11.64 saat di peringkat saringan.

"Sentiasa sukar kerana ada kuota untuk akreditasi di sini. Kami cukup berpuas hati dengan proses akreditasi. Jurulatih Zaidatul tidak berada di sini kerana kami mengambil kira di sesetengah sukan atau acara, atlet (yang berada di sini dengan jurulatih) mempunyai peluang lebih baik."

"Begitupun, prestasinya cukup baik di sini dan saya berharap dia akan meneruskannya," kata Ying How.

2297 dibaca
Berita Harian X